Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menutup siri penganjuran Jelajah Karnival KPDN dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Zon Tengah 2025, dengan fokus memperluaskan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan dan peluang perniagaan.
Menurut Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, program tersebut bertujuan memastikan rakyat lebih mudah mendapatkan perkhidmatan kerajaan.
“Bukan sahaja rakyat perlu untuk terlibat atau hadir ke premis kerajaan, tetapi melalui Jelajah Karnival KPDN ini, kita membawa pelbagai agensi kerajaan serta sektor swasta untuk memberikan perkhidmatan secara terus kepada rakyat.” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Program Jelajah Karnival KPDN 2025 Dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Tengah di sini.
Program tiga hari bermula 21 hingga 23 November itu menampilkan pelbagai aktiviti termasuk Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM), persembahan hiburan, pameran informatif dan reruai produk tempatan, melibatkan rakan strategik swasta dan kerajaan.
“Penganjuran program ini juga berkait rapat dengan tiga teras kefungsian KPDN iaitu mewujudkan perdagangan dalam negeri yang sihat dan progresif, mendayaupayakan pengguna serta menangani isu kos sara hidup. Kita mahu rakyat bukan sahaja dapat perkhidmatan, tetapi juga maklumat dan peluang perniagaan.” tambahnya.
Menurut beliau, program ini adalah siri keenam bagi zon tengah selepas lima siri penganjuran sebelumnya di Johor (Zon Selatan), Kedah (Zon Utara), Pahang (Zon Timur), Sabah dan Sarawak.
Pelaksanaan ini juga selaras dengan agenda kerajaan dalam membentuk ekonomi domestik yang progresif, mampan, dan kondusif.
“Setiap ringgit yang dibelanjakan untuk produk tempatan adalah sebahagian daripada pelaburan untuk memperkukuh ekonomi domestik, menyokong usahawan tempatan dan memberi kesan positif kepada ekonomi rakyat, khususnya golongan PMKS.” katanya.
Berdasarkan laporan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat daripada RM1.673 trilion pada 2023 kepada RM1.766 trilion pada 2024.
Manakala bagi tahun 2025, sehingga September, nilai jualan mencatat RM1.381 trilion berbanding RM1.314 trilion tempoh sama tahun sebelumnya, menunjukkan momentum positif sektor perdagangan domestik.
Melalui Jelajah Karnival KPDN dan KBBM Zon Tengah, kerajaan berharap rakyat dapat memanfaatkan platform ini untuk mendapatkan perkhidmatan, maklumat, serta peluang perniagaan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan dan kesejahteraan masyarakat.-Berita RTM
