Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan akan membentuk sebuah Jawatankuasa Khas Bersama melibatkan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan keberkesanan serta kestabilan Sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999).

Menerusi kenyataan bersama, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad yang turut meninjau pusat kawalan berkenaan memaklumkan bahawa jawatankuasa tersebut akan meneliti kesemua isu teknikal, pengoperasian dan koordinasi antara agensi tindak balas kecemasan.

Ia juga akan memastikan penyampaian perkhidmatan kecemasan kekal lancar dan selamat, termasuk tindakan segera bagi penambahbaikan sistem dari semasa ke semasa.

Selain menyediakan laporan mingguan kepada Jemaah Menteri mengenai status pelaksanaan keberkesanan operasi, indikator prestasi utama, serta cadangan penyelesaian jangka pendek dan panjang.

“Dari sistem NG MERS 999 mula beroperasi dan hingga pukul 12.00 tengah hari pada Jumaat, NG MERS 999 telah menerima 323,957 panggilan yang dikendalikan oleh 170 pegawai kecemasan profesional di 1,302 stesen kerja. 95 peratus panggilan diproses dalam masa lapan saat.

“Pusat Sokongan Teknikal 24 jam juga tersedia di seluruh negara untuk memberikan perkhidmatan sokongan dan penyelenggaraan apabila diperlukan,” menurut kenyataan terbabit.

NG MERS 999 dibangunkan bagi meningkatkan keberkesanan tindak balas kecemasan negara melalui rangkaian komunikasi yang lebih pantas, tepat, moden dan inklusif.

Ia kini merangkumi 837 lokasi operasi dengan anggaran kos operasi tahunan sekitar RM113 juta, selaras dengan peluasan capaian, peningkatan keupayaan infrastruktur, integrasi antara agensi, serta keperluan keselamatan siber yang lebih tinggi.

“Terdapat dua aplikasi yang dibangunkan bagi menyokong sistem NG MERS 999, iaitu SaveME999 dan Responder App,” menurut kenyataan itu.

Nilai langganan perkhidmatan aplikasi SaveME999 dan Responder App ialah sebanyak RM880,000 iaitu 0.78 peratus daripada kos operasi tahunan, yang turut merangkumi perkhidmatan pangkalan data.-Berita RTM