KOTA KINABALU: Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku kedua tahun hadapan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata HUMS yang kini telah siap 96 peratus, mampu memuatkan sebanyak 400 katil.
Menurutnya, bagi Pusat Penjagaan Primer HUMS, ia akan mula beroperasi pada 12 Disember depan.
“Hanya beberapa peratus sahaja lagi diperlukan (untuk HUMS siap sepenuhnya). Jadi saya telah mengarahkan sekiranya ada sebahagiannya sudah pun siap, kita mulakan operasi,” katanya selepas mengadakan lawatan di HUMS dan dua blok kediaman pelajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.
HUMS lewat siap
Mengulas lanjut, Zambry memaklumkan, projek pembangunan HUMS itu telah berlakunya kelewatan, dan beliau akan pastikan ia akan siap sepenuhnya.
“Apabila saya datang, saya pastikan supaya projek ini hendaklah disegerakan. Kena dipastikan supaya tidak berlaku kelewatan yang terlalu panjang.
“Inilah dasar Kerajaan MADANI untuk pastikan supaya menteri pun dapat turun untuk melihatnya,” katanya.
Dalam pada itu, Zambry turut menyatakan Jemaah Menteri telah bersetuju agar UMS dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) agar membuka Fakulti Undang-Undang di kedua-dua buah universiti berkenaan.
Selain itu katanya, Jemaah Menteri juga mengesyorkan agar Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengembangkan lagi Fakulti Undang-Undang mereka ke Sabah dan Sarawak.
“Ini adalah satu berita baik untuk rakyat Sabah keseluruhannya kerana kita mendengar saranan yang dikemukakan kepada kita,” katanya.
Selain itu, Zambry turut menyatakan pihaknya telah mencapai persetujuan dengan pihak universiti dan syarikat yang bertanggungjawab untuk memperlengkapkan dua buah blok kediaman pelajar di UMS yang menghadapi masalah untuk didiami.
“Ada sedikit masalah perundangan dan teknikal yang berlaku, menyebabkan projek ini terbiar begitu saja walaupun ia telah siap sepenuhnya. Seharusnya kita mencari jalan (agar pelajar boleh mendiami) kerana UMS sangat memerlukan tempat penginapan pelajar.
“Kita telah mencapai persetujuan supaya projek ini boleh diperlengkapkan dari segi kekurangan yang ada dan kita mulakan (penempatan pelajar),” katanya.-BH Online
