KUALA LUMPUR, 21 November – Laporan mengenai kadar penolakan tawaran haji sebanyak 50 peratus merujuk kepada data musim haji 1446H/2025M, dan bukan musim haji akan datang.
Lembaga Tabung Haji (TH) menjelaskan analisis terhadap penolakan musim lalu mendapati kebanyakannya berpunca daripada tahap simpanan pendeposit yang tidak mencukupi untuk melayakkan mereka menerima tawaran berkenaan.
“Bagi musim haji 1447H/2026M, TH telah menggiatkan peringatan berkala sejak Ogos lepas kepada semua bakal jemaah bagi memastikan mereka membuat persediaan mencukupi dari segi kewangan, kesihatan dan ilmu ibadah,” menurut kenyataan itu.
TH memaklumkan langkah proaktif berkenaan, sebahagian daripada inisiatif peremajaan jenama TH, menunjukkan hasil positif apabila kadar penolakan tawaran haji bagi musim 1447H/2026M setakat ini didapati lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Tawaran haji musim 1447H/2026M masih dikeluarkan secara berperingkat. Bakal jemaah perlu memastikan simpanan minimum RM15,000 dalam akaun TH bagi melayakkan menerima tawaran atau mengemukakan rayuan,” jelas kenyataan tersebut.
TH turut menggalakkan semua bakal jemaah untuk menyimpan secara berkala dan menjaga kesihatan demi mempersiapkan diri menunaikan rukun Islam kelima.-Berita RTM
