JOHANNESBURG: Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon sokongan Afrika Selatan mengenai pencalonan Malaysia di beberapa badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC) dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
Turut dilihat ialah pencalonan Malaysia di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), kata Perdana Menteri.
Beliau berkata permohonan itu dibuat semasa kunjungan hormat ke atas Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa.
“Saya turut memohon dukungan Afrika Selatan mengenai pencalonan Malaysia di beberapa badan antarabangsa termasuk IMO, ECOSOC, ITU, UNHRC dan UNSC,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.
Anwar berkata Malaysia komited membina hubungan yang lebih kukuh berteraskan solidariti, keyakinan dan agenda pembangunan yang saling memanfaatkan rakyat Malaysia dan Afrika Selatan.
IMO ialah agensi khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab terhadap keselamatan perkapalan dan ECOSOC pula ialah satu daripada enam badan utama PBB yang menyelaras kerja-kerja ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Sementara itu, ITU merupakan agensi khas PBB untuk teknologi maklumat dan komunikasi sementara UNHRC ialah sebuah badan antara kerajaan dalam PBB.
UNSC merupakan badan utama bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan dan keamanan di peringkat antarabangsa.
Anwar kini dalam rangka lawatan kerja empat hari bermula semalam bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) di Johannesburg sebagai tetamu Presiden Afrika Selatan.
Perdana Menteri diundang menghadiri sidang kemuncak berkenaan yang bermula esok sehingga Ahad, atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.-BH Online
