KUALA LUMPUR, 21 November -Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Abdul Halim Hamzah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, berkuat kuasa Isnin (24 November).
Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan.
“Saya dengan penuh sukacita merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Abdul Halim Hamzah atas pelantikan beliau sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, berkuat kuasa 24 November 2025,” katanya.
Tan Sri Shamsul Azri berkata, dengan pengalaman kepimpinan Datuk Abdul Halim yang luas serta rekod perkhidmatan cemerlang, beliau mampu memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan terus menyumbang kepada kesejahteraan serta kemakmuran negara.
Datuk Abdul Halim ,54, lepasan Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dan pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Putra Malaysia.
Beliau telah menabur bakti dalam perkhidmatan awam selama hampir 30 tahun, bermula sebagai Penolong Pengarah di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Sebelum menyandang jawatan Ketua Pengarah NADMA pada 9 Jun, beliau juga pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Kewangan & Pembangunan) di JPM pada 2023.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Tan Sri Shamsul Azri turut mengumumkan pelantikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Meor Ismail Meor Akim sebagai Ketua Pengarah NADMA bagi menggantikan Abdul Halim, berkuat kuasa tarikh sama.
Meor Ismail, 56, merupakan lepasan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) daripada Universiti Malaya dan telah berkhidmat selama lebih 31 tahun dalam perkhidmatan awam, bermula sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Kewangan.
Menurut kenyataan itu beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Perak pada 2019 dan kemudian berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pelaksanaan Operasi) NADMA pada 2021.
“Dengan pengalaman luas dalam pelbagai bidang merangkumi Persekutuan dan negeri, saya yakin dan percaya bahawa beliau akan memimpin NADMA dengan penuh dedikasi.
“Pelantikan ini menentukan keupayaan negara untuk memperkukuh sistem pengurusan bencana yang lebih efisien, bersepadu dan responsif,” katanya.-Berita RTM
