KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan lebih 7,880 aset mobiliti dan mempersiapkan 4,428 anggota bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) melalui Op Murni bagi memastikan bantuan kecemasan dapat dilaksanakan secara pantas dan berkesan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sebanyak 506 aset mobiliti darat, 7,355 aset mobiliti perairan dan 19 aset mobiliti udara dipersiapkan di seluruh negara terutama kawasan sasaran bencana.
“Operasi ini membabitkan seramai 266 pegawai dan 4,162 anggota lain-lain pangkat bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu TDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Operasi ini selaras dengan pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WOGOS) yang menekankan peranan ATM sebagai sokongan utama kerajaan dalam menghadapi kecemasan dan bencana alam.
“Pada masa sama, ia turut mendukung aspirasi Kertas Putih Pertahanan (KPP) melalui konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) dalam melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya selepas meninjau Persiapan Op Murni ATM di Perpustakaan Kem Kementah, di sini, hari ini.
Menurut Khaled, beberapa aset tambahan seperti trak sudah diperoleh melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan diserahkan kepada ATM untuk digerakkan mengikut keperluan operasi.
“Begitu juga dengan jambatan Bailey dan peralatan lain yang dibeli oleh NADMA diserahkan untuk dikendalikan oleh pihak tentera.
“Kita akan tengok pengalaman-pengalaman kita, tahap-tahap banjir yang kita lalui, ketika ini pihak kerajaan sentiasa beri kerjasama. Berdasarkan tahap banjir yang sedang atau akan dihadapi, jika ada keperluan tambahan… saya percaya ATM akan mengemukakannya kepada kerajaan,” jelasnya.
Panglima Tentera Darat dilantik pengelola operasi
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, dilantik sebagai pengelola operasi yang akan menerajui operasi berkenaan.
Menurutnya, Cawangan Operasi dan Latihan Tentera Darat (OPLAT TD) pula berperanan sebagai Point of Contact kepada NADMA dan melantik 15 orang Appointed Military Commander (AMC) daripada Panglima Divisyen dan Briged meliputi negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Sebagai peneraju operasi, Panglima Tentera Darat kemudian mengeluarkan direktif operasi dengan melantik Panglima Medan Barat Tentera Darat dan Panglima Medan Timur Tentera Darat sebagai pemerintah operasi wilayah masing-masing.
“Panglima Medan Barat bertanggungjawab di Semenanjung, manakala Panglima Medan Timur mengetuai operasi di Sabah dan Sarawak. Pelantikan ini adalah bagi memastikan operasi dapat dilaksanakan dengan berkesan,” jelasnya.
ATM kenal pasti lebih 5,600 lokasi risiko banjir
Dalam perkembangan sama, Khaled berkata, ATM mengenal pasti 5,648 lokasi berisiko banjir yang akan berada di bawah pemantauan Op Murni.
Katanya, Op Murni diaktifkan sebagai langkah awal susulan jangkaan risiko banjir besar di beberapa negeri menjelang hujung tahun ini.
“ATM sudah melaksanakan atur gerak awal termasuk pemetaan menyeluruh menggunakan rekod kejadian lampau, data Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan maklumat pegawai lapangan.
“Setakat ini, ATM mengenal pasti 5,648 kawasan berisiko banjir di seluruh negara,” katanya sambil menambah Op Murni akan dilaksanakan menerusi empat fasa utama iaitu atur gerak awalan, operasi menyelamat, bantuan dan pasca banjir.
“Walaupun banjir belum berlaku, tentera sudah berada di lapangan untuk mengesan kawasan kritikal supaya tindakan awal dapat diambil tanpa melengahkan masa,” katanya.
Mengulas tindakan di kawasan kritikal, Khaled menegaskan ATM tidak hanya menunggu arahan.
“Tentera biasanya tidak menunggu arahan… sebaik melihat keadaan memerlukan tindakan, mereka akan terus bergerak untuk membantu.
“ATM juga mempunyai pasukan simpanan yang boleh digerakkan segera sekiranya situasi memerlukan pertambahan kekuatan,” jelasnya.-BH Online
