KUALA LUMPUR: Malaysia Debt Venture Bhd (MDV) meluluskan pembiayaan untuk projek teknologi hijau kepada lebih 148 syarikat berjumlah RM2.26 bilion setakat ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Beliau berkata, MDV telah melancarkan program sukuk bernilai RM2 bilion bagi membiayai projek atau kontrak berteknologi di bawah mandatnya pada 2022
Katanya, melalui dana sukuk tersendiri, MDV menawarkan pembiayaan kepada teknologi hijau dengan sokongan insentif daripada tiga program yang disokong oleh kerajaan termasuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS).
“Kerajaan turut memperluas Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) kepada teknologi hidrogen, selain pengecualian duti dan cukai import bagi peralatan tenaga boleh baharu termasuk hidrogen.
“Ini termasuk pemberian Elaun Cukai Pelaburan (ITA) sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal projek hidrogen selama 10 tahun, yang boleh ditolak sehingga 100 peratus daripada pendapatan berkanun,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengenai usaha kerajaan dalam menyediakan insentif bagi merancakkan ekonomi hidrogen.
Lih Kang berkata, pelbagai langkah dasar turut dicadangkan untuk menurunkan kos pengeluaran hidrogen, termasuk pakej tarif tenaga boleh baharu ke hidrogen, kelonggaran akses grid, penggunaan Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC) serta perwartaan tanah khusus dalam kluster hidrogen untuk mempercepat pembinaan infrastruktur.
Menjawab soalan tambahan Rodiyah mengenai cadangan mewujudkan Zon Pelaburan Hidrogen, katanya zon itu mampu mempercepat pertumbuhan ekonomi negara dan meletakkan Malaysia sebagai hab hidrogen serantau dan hab pelaburan hidrogen yang kompetitif di Asia Pasifik.
“Kementerian telah menubuhkan satu kumpulan kerja insentif pelaksanaan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).
“Ia merupakan platform yang menyelaras agenda nasional mengenai hidrogen ekonomi termasuk dengan agensi dan kementerian lain seperti Kementerian Kewangan serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri,” katanya.
Menurutnya, kumpulan kerja itu akan merangka pakej insentif yang menyeluruh merangkumi tarif tenaga khusus, insentif fiskal seperti GITA dan status perintis, pengecualian cukai import peralatan serta sokongan infrastruktur.-BERNAMA
