KUALA LUMPUR, 19 November – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghormati dan menerima dengan hati terbuka sebarang keputusan MIC sekiranya parti itu memilih untuk keluar daripada gabungan tersebut.
“Saya menghormati apa juga keputusan yang dibuat oleh para perwakilan dan pimpinan MIC dan saya tidak berhajat untuk mencampuri hal ehwal dalaman mereka.
“Apa juga keputusan yang dibuat oleh mereka kita dengan lapang dada hati terbuka menerimanya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China 2025 di Wisma MCA di sini.
Terdahulu, sidang Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MIC ke-79 pada Ahad lalu, menyaksikan sokongan sebulat suara untuk menamatkan penyertaan dalam BN, dan menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan masa sesuai serta membentuk jajaran baharu.
Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran menegaskan jawatankuasa parti akan meneliti usul tersebut dan MIC tetap menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mandat beliau tamat.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pula menyatakan sesi perbincangan bersama kepimpinan tertinggi MIC akan diadakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi menjernihkan sebarang kekeliruan mengenai kedudukan parti itu dalam BN.-Berita RTM
