Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan siasatan berhubung video kes rasuah yang dikaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah belum ditutup atau dipadam.

Penjelasan itu sekali gus menolak dakwaan kononnya kerajaan melindungi mana-mana pihak dalam kes rasuah terbabit.

Tambah Perdana Menteri, beliau sendiri ada menonton video berkenaan dan menganggap ia mempunyai asas kukuh untuk disiasat, namun menegaskan perkara itu sepenuhnya di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Menurut pemberitahuan SPRM, (kes itu) sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara. Setakat ini, (untuk) kes jenayah, dia tak ada ‘time limitation’ (had masa), jadi kena sabar.

“Setakat ini tiga individu sudah didakwa (berhubung kes itu), tetapi kita tidak lepaskan semua yang lain. (Persoalan) mengapa ada dakwa tiga, kerana (mereka) ada ‘compelling case’ (kes yang meyakinkan)… tetapi yang lain, kes mereka tidak pernah dipadam atau ditutup,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai status dakwaan kes rasuah babitkan beberapa ADUN Sabah yang dikaitkan dalam video tular sebelum ini, yang belum dikenakan tindakan, sebaliknya ada antara mereka kini menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan beliau tidak mahu mencampuri urusan siasatan dengan mengarahkan supaya kes itu didakwa berdasarkan video yang tular.

“Saya tidak mahu mengarahkan. Mesti dakwa (mereka) berdasarkan video (yang tular itu)… saya tak boleh (buat begitu).

“Ini yang kadang-kadang diputar balik kenyataan saya,” katanya.-BH Online