KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan Parti Warisan kerana jika ada hubungan itu, sudah tentu tiada pertembungan kedua-dua parti di kerusi sama.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan pihaknya tidak pernah berbincang dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai kerjasama BN-Warisan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
“Kalau ada kerjasama sudah tentu tiada pertembungan antara calon BN dengan Warisan, tapi kita tidak menolak kemungkinan selepas keputusan nanti pada 29 November (ada kerjasama) bagi membentuk kerajaan.
“Rundingan itu nanti mungkin berlaku jika tiada mana-mana parti atau gabungan mencatat keputusan dominan,” katanya pada sidang media sempena Sesi Libat Urus Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Media, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya jika ada sebarang kemungkinan kerjasama dengan Warisan pada pilihan raya kali ini. Parti berkenaan bertanding di semua 73 kerusi DUN, manakala BN di 45 kerusi, yang bermakna kedua-duanya bertembung di 45 kerusi.
Sementara itu, mengenai pertembungan BN dengan Pakatan Harapan (PH) di dua kerusi, iaitu Karamunting dan Kemabong, Ahmad Zahid berkata perkara itu tidak menimbulkan masalah kepada kedua-dua gabungan.
Katanya, pertembungan itu sudah tidak dapat dielak, namun BN akan memastikan tidak berlaku pertembungan dengan jentera PH di kedua-dua kawasan terbabit.
“Untuk Kemabong dan Karamunting walaupun kedua-dua bertanding tapi tiada masalah, tetap ada persefahaman dan tidak menjejaskan perpaduan BN-PH,” katanya.
BN diwakili MCA manakala PKR mewakili PH meletak calon masing-masing di kerusi DUN Karamunting, manakala UMNO menurunkan calonnya atas tiket BN, diikuti DAP mewakili PH di kerusi DUN Kemabong.
Ahmad Zahid turut ditanya mengenai tindakan UMNO Bahagian Sipitang menutup markas parti itu apabila PH diberi laluan meletak calon di kerusi DUN Sindumin.
Katanya, isu yang membabitkan UMNO di bahagian berkenaan sudah ditangani sebaiknya.-BH Online
