KUALA LUMPUR: Peluang tetap terbuka untuk rakyat Malaysia yang mahu mencari rezeki sebagai nelayan baharu, walaupun pembekuan lesen penangkapan ikan masih berkuat kuasa sejak 1983 bagi melindungi sumber laut negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata bawah Program Pemutihan Lesen Zon A, lesen sedia ada yang tidak aktif lebih tiga tahun akan dibatalkan dan kuota terbabit diagihkan semula kepada nelayan baharu yang layak.
“Pendekatan ini membolehkan mereka terus beroperasi secara sah tanpa menambah tekanan kepada sumber ikan yang semakin terhad,” katanya dalam catatan melalui Facebook, hari ini.
Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai proses mendapatkan lesen untuk nelayan kecil, pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjelaskan lanjut, Mohamad berkata, sistem e-Lesen turut diperkenalkan bagi memudahkan urusan nelayan, dengan kemudahan kaunter khas disediakan di pejabat perikanan seluruh negara.
“Melalui sistem itu, nelayan dapat membuat permohonan dan pembaharuan lesen dengan lebih cepat, selain tidak tercicir daripada bantuan kerajaan seperti subsidi minyak diesel, bantuan musim tengkujuh serta program pembangunan komuniti perikanan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut menurunkan kadar kompaun kesalahan ringan daripada RM500 kepada RM100, sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan nelayan kecil yang berdepan kesempitan hidup.
“Semua langkah ini bukan untuk menyusahkan nelayan, tetapi ia bagi menjamin kelestarian laut dan memastikan rezeki mereka terus berpanjangan,” katanya.-BH Online
