Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,417 aduan diterima dan disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dari 2020 hingga 31 Oktober lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 61 kes didakwa di mahkamah dan 40 kes ditawarkan kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM727,500.

“Sebanyak 167 kes dikeluarkan Notis Amaran dan baki 1,149 kes merangkumi kes yang masih dalam peringkat siasatan serta kes yang tidak diambil tindakan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) mengenai jumlah individu yang disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dari 2020 hingga 2025.

Seksyen 233 memperuntukkan hukuman bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, termasuk menyebarkan maklumat palsu, kandungan tidak sopan atau jelik, dan komunikasi yang mengancam.

Fahmi memaklumkan, pada tahun ini, sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 545 kes direkodkan, manakala pada 2024, sebanyak 315 kes.

Pada 2023, sebanyak 155 kes direkodkan, seterusnya 157 kes (2022), 57 kes (2021) dan 188 kes (2020).-BH Online