Lawatan Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, ke Arab Saudi bermula hari ini, menjadi pemangkin kepada hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi yang semakin kukuh.
Ia sekali gus memperluaskan kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, pelaburan serta hal ehwal Islam antara kedua-dua negara.
Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman, berkata lawatan itu diyakini akan memacu hubungan antara kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi selaras aspirasi bersama untuk memperkukuhkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.
“Lawatan ini memperkukuhkan lagi kerjasama sedia ada dan pada masa sama, membuka pintu usaha sama yang baharu.
“Kita nampak terdapat potensi untuk syarikat-syarikat Malaysia melabur di Arab Saudi.
“Ini kerana ekonomi Arab Saudi berkembang pesat bawah Visi 2030 Arab Saudi bawah kepimpinan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud,” katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.
Syed Mohamad Bakri berkata, Kerajaan Arab Saudi amat menantikan keberangkatan tiba Sultan Ibrahim ke Arab Saudi, dan memberi kerjasama baik dalam menjayakan Lawatan Negara yang kali terakhir dilaksanakan Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah pada 1984.
“Kerajaan Arab Saudi memberi taraf tetamu kerajaan yang tinggi kepada Seri Paduka dan anggota delegasi yang lain.
“Mereka memberi kerjasama penuh kepada kita dalam menjayakan program-program yang dirancang,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Mohamad Bakri berkata, penghargaan yang bakal dizahirkan Sultan Ibrahim kepada Arab Saudi akan mengeratkan lagi kerjasama, khususnya dalam aspek pengurusan jemaah haji dan umrah Malaysia serta hal ehwal Islam.
Mengenai persiapan Lawatan Negara itu, beliau berkata, Kedutaan Malaysia di Riyadh telah melaksanakan persiapan tahap optimum.
Katanya, ia dilakukan dengan kerjasama erat Pejabat Pertahanan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan semuanya berjalan lancar serta mencapai matlamat yang dirancang.
Istana Negara dalam satu kenyataan, semalam, memaklumkan ketika berada di Riyadh, baginda dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud di Istana Yamamah.
Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 12 kunjungan berprofil tinggi telah diadakan antara Malaysia dengan Arab Saudi.
Negara Tanah Suci itu juga adalah rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM44.74 bilion (AS$9.79 bilion).
Selain aspek ekonomi, hubungan erat kedua-dua negara turut terserlah dalam urusan ibadah haji dan umrah, dengan baginda bakal menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas layanan mesra dan penyelarasan istimewa yang diberikan kepada jemaah Malaysia saban tahun.-BH Online
