KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM500,000 bagi menjayakan edisi sulung Piala Dunia Boling Padang 2025 yang dijadual membuka tirainya di Kompleks Sukan Bukit Kiara, esok.
Kejohanan yang bakal berlangsung sehingga 8 November ini turut menampilkan kelainan apabila dipertandingkan secara dalam dewan dengan kos keseluruhan dibelanjakan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk infrastruktur berkenaan adalah sebanyak RM1 juta.
“Kali ini, kita cuba infrastruktur untuk dalam dewan dan pembelian gelanggang ini disediakan Perbadanan Stadium Malaysia. Perbelanjaan lebih kurang RM1 juta oleh Perbadanan Stadium untuk lengkapkan persiapan Piala Dunia ini.
“Untuk Kementerian Belia dan Sukan, kita peruntukkan setengah juta ringgit bagi penganjuran Piala Dunia di sini,” kata Hannah Yeoh selepas melancarkan kejohanan rasmi di sini, hari ini.
Kejohanan dunia sulung ini menghimpunkan 12 penyertaan negara antaranya Australia, Kanada, England, Hong Kong, India, Ireland, New Zealand, Scotland, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Wales dan Malaysia.
“Hasrat kita, apabila kita sudah ada Kejohanan Dunia ini di Malaysia, saya nak lebih ramai lagi rakyat Malaysia tahu mengenai boling padang. Apabila ada kejohanan dunia di sini, ia akan memberi kesedaran yang lebih tinggi kepada masyarakat di sini mengenai sukan ini,” kata Hannah.
Dalam pada itu, Hannah berkata, pihaknya berhasrat mengekalkan gelanggang mudah alih itu di Stadium Juara sebagai tempat latihan skuad negara bagi persiapan menghadapi Sukan Komanwel Glasgow 2026.
“Infrastruktur ini bukan sahaja untuk pertandingan tetapi untuk latihan berpanjangan atlet negara kita dan mereka perlukan sehingga bulan Jun untuk persiapan ke Commonwealth Games.
“Jadi, sekarang ini, Perbadanan Stadium perlu susun balik jadual kerana seperti yang anda tahu, Stadium Juara ini juga tempat latihan untuk bola jaring dan badminton,” katanya.-BH Online
