JOHOR BAHRU: Kementerian Pengangkutan mengumumkan penurunan harga kad 30 hari Bas.My daripada RM50 kepada RM30 sebulan, di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, berkata keistimewaan perjalanan tanpa had itu hanya boleh dinikmati warganegara Malaysia dan negeri yang mempunyai perkhidmatan awam Bas.My.
Beliau berkata, langkah itu bukan saja meringankan beban pengguna, malah dijangka meningkatkan jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan Bas.My di seluruh negara.
“Kerajaan Madani juga amat prihatin terhadap kos pengangkutan awam yang ditanggung rakyat. Pas bulanan perjalanan tanpa had Kad 30 Hari Bas.My yang diperkenalkan di seluruh negara dengan harga RM50 pada Ogos 2023 kini berharga RM30 saja.
“Pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mencadangkan harga baharu itu dan saya bersetuju dengan penurunan harga kad 30 hari Bas.My ini, sekali gus mengurangkan kos perjalanan hanya RM1 sehari atau 50 sen untuk pergi dan balik.
“Inisiatif ini hanya terpakai untuk rakyat Malaysia, manakala bukan warganegara masih perlu membayar tambang penuh mengikut perjalanan,” katanya demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Bas.My Johor Bahru di Sutera Mall di sini, hari ini.
Setakat ini, perkhidmatan Bas.My beroperasi di Kangar, Perlis; Kota Setar, Kedah; Ipoh, Perak; Seremban, Negeri Sembilan; Melaka, Johor Bahru, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan serta Kuching, Sarawak dan akan beroperasi mengikut fasa di Kuantan, Pahang.
Bas.My Johor Bahru mencatatkan pendaftaran tertinggi kad konsesi Bas.My di seluruh negara dengan jumlah 18,580 pendaftaran setakat bulan lalu.
Rangkaian Bas.My Johor Bahru kini membabitkan penggunaan 162 bas iaitu penambahan 34 bas berbanding sebelum ini.
Loke berkata, warga emas berusia 60 tahun ke atas, golongan orang kurang upaya (OKU), pelajar sekolah dan mahasiswa universiti awam serta swasta akan terus menikmati tambang percuma.
Katanya, bagi memudahkan pengguna merancang perjalanan, aplikasi ‘Journey Planner’ diperkenalkan bagi membolehkan mereka melihat lokasi sebenar bas secara masa nyata, laluan dan jadual perjalanan.
“Pengendali bas juga diwajibkan berkongsi data GTFS-R kepada platform terbuka supaya lebih banyak aplikasi perancang perjalanan boleh dibangunkan untuk kegunaan rakyat.
“Selain itu, perkhidmatan Bas.My ‘Medic’ juga bakal dilancar menjelang hujung tahun ini bagi membantu pesakit mobiliti terhad termasuk pengguna kerusi roda ke hospital dan pusat dialisis.
“Untuk perkhidmatan Bas.My ‘Medic’ ini, pihak penyedia pengangkutan akan menyediakan dua van diubahsuai khas bagi mengambil dan menghantar penumpang dari lokasi tertentu ke pusat dialisis atau hospital,” katanya.-BH Online
