GEORGETOWN: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan usaha menangani isu sosial murid di sekolah hendaklah dilaksanakan secara bersepadu membabitkan kerjasama merentasi pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pendekatan rentas kementerian itu sejajar dengan komitmen Kerajaan MADANI yang menekankan sinergi pelbagai agensi dalam menangani sesuatu isu secara menyeluruh dan berterusan.
“Setiap komitmen kerajaan MADANI dalam apa juga isu adalah merentas kementerian dan sememangnya kerjasama dengan KPWKM sudah pun menjadi sebahagian besar daripada agenda bersama.
“Ada beberapa program bersama KPWKM yang saya fikir dilaksanakan dengan baik khususnya melibatkan perlindungan kanak-kanak, advokasi kesalahan jenayah seksual serta pendidikan dan kesihatan reproduktif yang memberi kesan besar kepada kedua-dua kementerian,” katanya.
Fadhlina berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Wacana Fikrah Siddiq Fadzil sempena Muktamar Wadah Negeri Pulau Pinang di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan, kerjasama antara kementerian akan terus diperkukuh dengan pembabitan lebih meluas pelbagai pihak pada masa hadapan untuk menagani isu atau permasalahan yang berlaku secara lebih berkesan.
“Apabila berlaku sesuatu isu, ia harus dilihat sebagai tanggungjawab bersama bukan hanya KPM tetapi turut membabitkan kementerian lain, komuniti, ibu bapa dan masyarakat.
“Ini juga selaras dengan ucapan Perdana Menteri serta ‘immediate reform’ (reformasi yang dilaksanakan dengan segera) yang sedang dijalankan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, kepentingan pembabitan ibu bapa dan komuniti amat penting dalam memastikan keberkesanan pelbagai program kerajaan, khususnya dalam memperkukuh nilai kekeluargaan yang menjadi asas penting pembangunan anak-anak.
“Peranan maksimum ibu bapa amat penting dalam pembangunan keluarga dan pembesaran anak-anak bagi memastikan kejayaan program serta pengukuhan nilai dalam keluarga dan masyarakat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan KPM akan melaksanakan reformasi segera terhadap sistem dan mekanisme sedia ada, termasuk memperkasa program pendidikan sedia ada, bagi mengelak berulangnya insiden tragis seperti kes pelajar dirogol dalam kelas.
Reformasi itu juga akan dilaksanakan secara rentas kementerian, khususnya dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Komunikasi dan KPWKM.-BH Online
