Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH, 2 November – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memohon maaf secara terbuka susulan kenyataannya ketika menghadiri program pencahayaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Permohonan maaf itu dibuat ketika sidang media selepas beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Padang Madani Taman Boon Bak di sini, hari ini.

Kor Ming berkata beliau menerima teguran daripada rakan-rakan media dengan hati terbuka dan menarik balik kenyataannya bagi mengelak sebarang salah faham.

“Saya menerima dengan hati yang terbuka segala teguran. Sekiranya ada rakan-rakan media yang terkilan dengan kata-kata itu, saya tarik balik dan mohon maaf supaya kita dapat fokus kepada usaha membina semula tanah air kita yang tercinta,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan menegaskan komitmennya terhadap kebebasan media dan kebebasan bersuara dalam pentadbiran negara.

Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan Kor Ming menjawab dengan nada sedikit keras pertanyaan seorang wakil media berhubung penggunaan bahasa Inggeris pada nama acara berkenaan.

Tindakan itu bagaimanapun menerima kecaman daripada pelbagai pihak, termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm).-Berita RTM