KUALA LUMPUR, 1 November – Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak menetapkan sebarang sasaran berdasarkan warna pingat bagi Sukan SEA Thailand 2025, sebaliknya hanya akan mengumumkan jumlah keseluruhan pingat yang disasarkan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata langkah itu diambil bagi mengurangkan tekanan terhadap atlet sepanjang temasya berlangsung.
“Saranan itu diambil hasil kerjasama dengan pakar dari Nippon Sport Science University (NSSU), Jepun melalui Majlis Sukan Negara (MSN), selaras dengan amalan negara maju yang mahu mengurangkan tekanan terhadap atlet.
“Tekanan kepada atlet sekarang berbeza dengan dahulu. Dulu media hanya keluar sekali sehari di TV, tapi kini atlet berdepan tekanan media sosial 24 jam. Itu sebabnya kita ikut saranan pakar NSSU untuk tidak umumkan sasaran mengikut warna pingat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Sidang Kemuncak Sukan dan Kesihatan Mental 2025 di ibu negara, hari ini.
Tegasnya, kejayaan atlet tetap akan diraikan tanpa mengira sama ada mereka membawa pulang pingat emas, perak atau gangsa.
Sementara itu, MSN dijadualkan menganjurkan bengkel bersama jurulatih, pasukan dan persatuan sukan kebangsaan pada 20 November ini, manakala pembawa Jalur Gemilang akan diumumkan pada 3 Disember.-Berita RTM
