SHAH ALAM: Kerjasama antara Persatuan Penghantar Ekspres Malaysia (AMEC) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) penting bagi menangani isu salah guna perkhidmatan kurier untuk kegiatan jenayah, termasuk pengedaran dadah.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata kerjasama itu akan membolehkan pemain industri kurier memahami isu itu dengan lebih menyeluruh, sekali gus mengambil langkah tepat dalam menyelesaikan kelompangan yang wujud.
Beliau berkata, keselamatan industri kurier perlu menjadi keutamaan dengan mengambil kira perkhidmatan penghantaran yang pantas dan efisien kini mula disalahgunakan oleh penjenayah.
“Kita mesti bermula dengan berdasarkan fakta, data dan laporan daripada tindakan yang telah diambil pasukan keselamatan seperti PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
“Dari situ, kita dapat melihat modus operandi penjenayah. Sekiranya ada kelompangan dalam proses yang disalah guna, maka kita minta sektor kurier mengambil tahu dan segera selesaikan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Kurier Negara 2025 di sini, hari ini.
Fahmi berkata, hasrat menjalinkan kerjasama lebih erat antara PDRM dengan syarikat kurier itu turut disampaikan oleh Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan.
“Untuk permulaan, saya minta AMEC mengadakan pertemuan serta perbincangan dengan JSJN dan pihak Kastam bagi memahami isu ini dengan lebih menyeluruh.
“Pada masa sama, AMEC juga perlu memastikan syarikat yang menguruskan pusat-pusat penyisihan barang hantaran, mempunyai cara terbaik untuk membuat saringan lebih tepat bagi mengelak perkhidmatan rangkaian kurier kita disalahgunakan oleh penjenayah,” katanya.
Terdahulu pada majlis hari ini, Fahmi turut melancarkan Kod Amalan Perkhidmatan Pos (CPPS) – dokumen yang kali pertama dikeluarkan sebagai piawaian operasi kepada industri kurier negara.
Ia bagi memastikan perkhidmatan berkenaan terus relevan, cekap dan berintegriti dalam mendepani cabaran era digital.
Fahmi berkata, CPPS yang dibangunkan Postal Forum, diluluskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada tahun lalu setelah konsultasi menyeluruh bersama pemain industri.
“Saya berharap semua penyedia perkhidmatan kurier dapat memastikan kod amalan ini dimasukkan dalam prosedur operasi standard (SOP) syarikat masing-masing.
“Namun, kita juga faham mereka memerlukan sedikit masa untuk meneliti dan mengubah suai mengikut kesesuaian syarikat… kita serahkan kepada Postal Forum untuk membantu,” katanya.
Pada majlis sama, Fahmi turut menyaksikan majlis pemeteraian Surat Kolaborasi antara Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd dengan Rakan Kurier.
Ia menyaksikan platform e-dagang itu akan mengguna pakai lebih banyak syarikat kurier tempatan untuk menghantar barangan pelanggan.
Syarikat kurier terbabit ialah GD Express Sdn Bhd (GDEX), City-Link Express (M) Sdn Bhd, POS Malaysia dan SPX Xpress (Malaysia) Sdn Bhd.
Inisiatif melalui MCMC dengan sokongan AMEC serta rakan industri bawah Rangka Kerja Perkongsian Rangkaian Kurier (CNSF) itu merupakan yang pertama di ASEAN berpaksikan perkongsian kapasiti, kolaborasi data dan kecekapan operasi antara pemain tempatan dan antarabangsa, sekali gus membantu memastikan persaingan lebih adil.
Pada majlis itu, Fahmi turut menyampaikan Anugerah Tokoh Industri Kurier 2025 kepada Mohd Syahirul Amin Kamarudin dari Skynet Worldwide (M) Sdn Bhd, manakala SPX Xpress (Malaysia) Sdn Bhd dipilih sebagai pemenang Anugerah MyKurier dengan penarafan empat bintang.-BH Online
