GYEONGJU: Industri nadir bumi negara bakal diperkukuh menerusi pembangunan kemudahan pembuatan magnet berkuasa tinggi bernilai RM600 juta oleh JS Link bersama Lynas Malaysia di Pahang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata persiapan awal projek berkenaan telah dilaksanakan dan beliau akan bertemu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail esok bagi membincangkan perkembangan lanjut.
Pada Isnin pula, Anwar berkata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, akan meninjau tapak bagi mempercepatkan pelaksanaan pelaburan itu.
“JS Link sudah membeli tanah dan bersedia memulakan operasi…. ini bukan lagi soal memorandum persefahaman kerana pelaburan telah masuk.
“Jadi usaha kerajaan kini adalah mempercepat proses agar projek dapat berjalan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia sebelum mengakhiri lawatan kerja tiga hari sempena Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif JS Link, Lee Jun Young dan Pengarah Urusan Lynas Malaysia, Datuk Seri Marshal Ahmad, disertai Tengku Zafrul.
Dalam kenyataan di X, Anwar menyatakan kerjasama berimpak tinggi itu akan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem teknologi bersih dan bahan termaju.
Ini selain menyokong pembentukan rantaian bekalan mineral kritikal yang stabil, mampan dan berdaya tahan untuk pembangunan kenderaan elektrik, tenaga boleh diperbaharui dan industri berteknologi tinggi.
Kerjasama itu juga mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil, berdaya saing dan berorientasikan inovasi.
Julai lalu, Lynas Rare Earths Ltd menandatangani persetujuan awal dengan JS Link bagi membangunkan fasiliti pengeluaran sehingga 3,000 tan magnet kekal neodymium-besi-boron berhampiran loji Lynas di Kuantan.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan Namhae Chemical Corporation bersetuju meningkatkan import bahan mentah dari Malaysia bernilai RM500 juta termasuk batu fosfat, kalium klorida dan ammonia hijau bagi pengeluaran baja kimia syarikat itu.
Namhae Chemical, anak syarikat Kumpulan NONGHYUP, adalah pengeluar baja kimia terbesar Korea Selatan dengan 42 peratus penguasaan pasaran dan mengeksport produk ke lebih 20 negara.-BH Online
