KUALA LUMPUR, 28 Oktober– Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terus komited memperkukuh peranan Persatuan Nelayan Kebangsaan (PNK) terutama bagi memastikan kebajikan serta pembangunan sosioekonomi komuniti nelayan terus terjamin dan mampan.
Jelas Menterinya , Datuk Seri Mohamad Sabu, bagi memastikan PNK terus relevan dan berfungsi secara efektif, LKIM dengan sokongan KPKM telah melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan, agar benar-benar memberi manfaat kepada nelayan di peringkat akar umbi.
Antaranya dengan menjual saham kepada ahli-ahli berdaftar.
“Setiap ahli perlu memiliki sekurang-kurangnya satu saham atau 20% daripada nilai sijil saham yang dikeluarkan. Dividen diagihkan berdasarkan keuntungan semasa; menyediakan kemudahan kredit melalui Dana Nelayan bagi menampung kos pembelian peralatan tangkapan ikan; memberikan bonus kepada ahli yang menjalankan urus niaga dengan PNK berdasarkan nilai jualan ikan atau pembelian barangan; menyediakan peruntukan Kumpulan Wang Kebajikan dan Kumpulan Wang Pengembangan daripada sebahagian keuntungan tahunan untuk kemudahan ahli,” katanya.
Tambah beliau pihaknya sentiasa sentiasa memantau tahap keberkesanan dan tadbir urus Persatuan Nelayan agar berfungsi secara aktif dan berkesan dalam menjaga kebajikan ahlinya.
Dalam pada itu bagi Persatuan Nelayan Kawasan yang kurang efektif atau tidak memenuhi keperluan ahli, LKIM akan menyedia dan melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan termasuk program sokongan menerusi penubuhan Pusat Pengumpulan dan Pemasaran (CCDC).
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan ahli parlimen Muar ketika sesi pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.-Berita RTM
