KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah, pendidikan berkualiti dan kesihatan yang baik penting bagi membentuk kemakmuran sesebuah negara.
Seri Paduka Baginda bertitah, pendidikan adalah kunci utama untuk masa depan, kerana ia bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membentuk nilai, empati dan integriti dalam diri setiap insan.
“Kita juga harus ingat bahawa pendidikan sebenar bukan sekadar penyampaian ilmu, tetapi juga penanaman nilai murni seperti akhlak, empati dan integriti nilai yang membentuk kompas moral bagi sebuah masyarakat yang adil dan penyayang”, titah Seri Paduka bertitah ketika merasmikan Persidangan Impak Yayasan MySDG 2025 di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Yayasan MySDG Tan Sri Abdul Wahid Omar, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib dan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Seri Paduka Baginda turut menekankan prinsip-prinsip yang menjadi teras kepada Agenda 2030 Menuju Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menekankan jaminan bahawa tiada golongan yang terpinggir.
Raja Permaisuri Agong turut menyeru agar golongan seperti orang kurang upaya (OKU), warga emas, komuniti Orang Asli, golongan miskin bandar dan luar bandar, wanita, kanak-kanak dan belia, diberikan peluang dan harapan bagi memperoleh kehidupan yang lebih maju.
Raja Zarith Sofiah turut menggalakkan penglibatan aktif daripada semua sektor termasuklah sektor awam, swasta, masyarakat, serta pihak yang terlibat dalam kerja-kerja filantropi bagi mencapai matlamat tersebut.
Pada persidangan itu, Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan dengan dua sesi pembentangan oleh Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB Profesor Jeffy D. Sachs dan Pengarah Eksekutif Pusat Sunway bagi Kesihatan Planet Prof Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.
Yayasan MySDG adalah sebuah yayasan yang berperanan mempercepat kemajuan Malaysia ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).-Berita RTM
