Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: ASEAN perlu meneruskan libat urus dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar dan membenarkan mereka untuk menguruskan hal ehwal negara melalui mekanisme nasional sendiri, termasuk berinteraksi dengan semua pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sejak setahun lalu, beberapa kemajuan ke arah penyelesaian konflik di negara itu dapat dilihat walaupun terdapat beberapa aduan insiden tembakan, yang bagaimanapun tidak berlaku pada skala yang pernah dilihat sebelum ini.

Perdana Menteri berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN membawa mandat blok serantau itu untuk mencari jalan penyelesaian terhadap konflik itu.

“Kami masih komited untuk menghormati Konsensus Lima Perkara (5PC)… namun pada masa sama, saya harus mengakui bahawa dalam dua pertemuan yang saya adakan bersama rakan-rakan saya dalam ASEAN, pemimpin, termasuk Pemangku Presiden, Min Aung Hlaing menunjukkan kerjasama dalam berinteraksi dengan kami.

“Selepas kejadian gempa bumi (di Myanmar pada Mac lalu), ketika saya bertemu beliau di Bangkok, saya menyatakan bahawa ASEAN komited untuk memberikan semua bantuan kemanusiaan yang diperlukan dengan dua syarat. 

“Pertama, gencatan senjata segera, hentikan pengeboman dan kedua, bantuan kemanusiaan termasuk hospital lapangan kami di hospital tentera di Myanmar diberikan akses sepenuhnya kepada semua pihak tanpa mengira kaum minoriti atau pendirian politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan mengenai dialog yang diadakan bersama 27 kumpulan penentang di Myanmar sebelum ini yang berjalan dalam suasana positif

Kumpulan itu katanya dijemput ke Kuala Lumpur sebagai usaha ASEAN untuk berinteraksi dengan semua pihak.

“Semua 27 kumpulan berkenaan – yang terdiri daripada golongan minoriti dan parti – berbuat demikian dengan cara yang sangat positif, diselaraskan oleh Kementerian Luar,” katanya.-BH Online