Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Beberapa insiden yang berlaku di fasiliti pendidikan termasuk kes membabitkan buli serta insiden keganasan di sebuah sekolah di Bandar Utama minggu lalu, jelas menuntut usaha intervensi daripada bukan saja Kementerian Pendidikan (KPM), malah kementerian dan agensi lain. 

Malah, pada pertemuan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dengan editor kanan media baru-baru ini, beliau memaklumkan keperluan untuk guru dan kaunselor mempunyai kepakaran dan ilmu dalam menangani emosi pelajar termasuk selepas berlakunya insiden tidak diingini.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kementeriannya sememangnya amat menyokong usaha memperkukuh perkhidmatan sokongan psikologi dan kaunseling di peringkat sekolah. 

Beliau berkata, ia berikutan isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja menjadi keutamaan yang memerlukan pendekatan menyeluruh serta kolaborasi merentas agensi.

Bagi tujuan itu, Dzulkefly berkata, KKM dan KPM ketika ini sudah memulakan jalinan kerjasama melatih Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) bagi meningkatkan keupayaan mereka mengenal pasti risiko awal dan melakukan intervensi serta rujukan segera kepada fasiliti kesihatan. 

“Selain itu, latihan Psychological First Aid (PFA) juga diberi kepada GBK bagi memperkukuh kemahiran asas pengurusan tekanan emosi dan krisis mental dalam kalangan pelajar,” katanya kepada BH. 

Dzulkefly berkata, bantuan teknikal dan kepakaran juga diberikan KKM dalam pengendalian perkhidmatan pasca krisis. 

Beliau berkata, ia termasuk panduan komunikasi semasa krisis kesihatan mental, bagi memastikan pengurusan insiden yang membabitkan pelajar dapat dilaksanakan dengan berhemah, berkesan dan efektif.

Selain itu, katanya, KKM juga dalam usaha untuk memperluaskan skop latihan kepada pengurusan pasca krisis termasuk perkhidmatan postvention dan komunikasi krisis. 

Bagi menangani isu kesihatan mental di sekolah, KKM dan KPM juga sudah melaksanakan kerjasama strategik termasuk mengadakan Program Minda Sihat Sekolah. 

Beliau berkata, program itu membabitkan lebih 10,000 sekolah di seluruh negara, yang merangkumi aktiviti advokasi, saringan kesihatan mental, sesi bimbingan dan kaunseling, serta pendidikan kesihatan mental bagi meningkatkan kesedaran dan ketahanan emosi pelajar. 

“Pelaksanaan Latihan Pengendalian Tingkah Laku Bunuh Diri bawah Program MySAVE (Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope) juga diberikan kepada GBK bagi meningkatkan keupayaan mereka mengenal pasti risiko awal dan melakukan intervensi serta rujukan segera kepada fasiliti kesihatan. 

“Pada masa sama, KKM melalui Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) juga sedang melaksanakan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja yang dibangunkan bersama pelbagai agensi termasuk KPM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), golongan akademia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). 

“Pelan ini memberi tumpuan kepada pendekatan bersepadu dalam pencegahan, intervensi awal serta rujukan bagi isu kesihatan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja,” katanya. 

Media sebelum ini melaporkan, KPM melaksanakan segera intervensi psikososial kepada seluruh warga sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya termasuk guru, susulan insiden tikam yang menyebabkan pelajar perempuan 16 tahun maut. 

Fadhlina dilaporkan berkata, langkah itu diambil kerana pihaknya bimbang akan wujud gejala menyalahkan diri mereka sendiri terutama dalam kalangan guru, susulan tindakan pelajar 14 tahun menikam mangsa sehingga maut. 

Sementara itu, BH sebelum ini melaporkan, Pengerusi I-Medik Pahang, Dr Rozanizam Zakaria, mencadangkan KPM mewujudkan jawatan pegawai psikologi atau kaunselor di setiap pejabat pendidikan daerah (PPD) dengan kelayakan sekurang-kurangnya sarjana. 

Beliau berkata, ini kerana sebahagian guru kaunseling di sekolah adalah berstatus GBK yang hanya memegang jawatan itu tanpa kelayakan sebenarnya atau latihan spesifik.-BH Online