KUALA LUMPUR: Malaysia akan memanfaatkan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengesahkan kehadirannya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung Sabtu ini, di ibu negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pertemuan bersemuka itu menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama strategik antara Malaysia dan AS dalam bidang perdagangan, keselamatan dan kemanusiaan khususnya berhubung isu Gaza.
Dalam usaha memperjuangkan isu Gaza, katanya Malaysia sudah berhubung dengan Mesir, Turkiye dan Arab Saudi bagi memperkukuh usaha membawa suara bersama melalui Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Saya sudah berhubung dengan rakan sejawat dari negara-negara itu untuk menyatakan pendirian Malaysia bersama negara Islam lain supaya mendesak satu Sidang Kemuncak Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan segera.
“Ia bagi mendapatkan mandat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berhubung penghantaran pasukan tentera pengaman antarabangsa ke Gaza. Ini kerana kita (Malaysia) tidak boleh menghantar tentera pengaman tanpa mandat daripada PBB.
“Namun, jika mandat itu diberi, Malaysia tidak akan menolak untuk mengambil bahagian. Sehingga kini, Malaysia masih mempunyai pasukan pengaman yang bertugas di Lubnan di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) serta pasukan Batalion Malaysia (MALBATT),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung dari 26 hinggga 28 Oktober ini.
Terdahulu, Mohamad hadir sebagai tetamu Podcast Utama Buletin TV3 di Balai Berita, Media Prima Berhad (MPB), Bangsar, di sini, hari ini.
Beliau berkata, emestinya Perdana Menteri akan mengambil peluang bersemuka dengan Trump untuk membawa suara Malaysia dalam menyuarakan isu global.
“Pertemuan dengan Trump juga diharap dapat menumpukan aspek perdamaian kekal di Gaza selain pada masa sama ia peluang untuk memperkukuh hubungan perdagangan Malaysia-AS.
“Ini kerana walaupun gencatan senjata sementara dapat diadakan antara Hamas dan Israel dan kita berharap ia akan berkekalan sehingga membawa kepada penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka” katanya.
Beliau berrkata, ketika ini banyak ketidaktentuan dalam ekonomi global yang wajar ditangani kerajaan demi memperkukuhkan ekonomi.
“Dalam dunia perniagaan, keadaan tidak menentu bukan sesuatu yang baik. Justeru, apabila perjanjian perdagangan antara Malaysia dan AS dapat dimeterai nanti, ia akan memberikanzon selesa (comfort zone) kepada pasaran dan pemain industri,” katanya.
Beliau berkata, 60 peratus eksport Malaysia ke AS adalah dalam bentuk produk elektrikal dan elektronik (E&E) yang kini menikmati status sifar duti import (zero tariff) dan berharap kemudahan itu dikekalkan.
“Selain itu, perbincangan juga akan menyentuh kerjasama dalam sektor semikonduktor dan teknologi tinggi yang dijangka dimasukkan dalam memorandum persefahaman (MoU) perdagangan antara Malaysia dan AS,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Presiden Russia, Vladimir Putin tidak hadir sidang kemuncak pada hujung minggu ini tetapi diwakilkan Timbalan Perdana Menterinya.-BH Online