KUALA LUMPUR, 22 Oktober– Penyertaan keseluruhan 2,854 petugas media yang berdaftar sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 membuktikan minat tinggi media tempatan dan antarabangsa terhadap pertemuan pemimpin tertinggi rantau ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata jumlah itu melibatkan 34 negara dan 290 agensi media dari seluruh dunia.
Menurutnya, angka berkenaan jauh lebih tinggi berbanding unjuran awal 1,770 orang sebelum ini.
“Jumlah media rasmi Malaysia ialah 648 orang, media tempatan 327 orang manakala media antarabangsa seramai 1,277 orang,” kata Datuk Fahmi dalam sidang media selepas membuat tinjauan di Pusat Media Antarabangsa (IMC) di Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah beliau, Jepun mencatat penyertaan tertinggi dengan 314 wartawan, diikuti Amerika Syarikat (181 orang) dan Korea Selatan (101 orang).
“Bagi Filipina pula, jumlahnya juga agak besar, iaitu 68 wartawan, memandangkan negara itu akan mengambil alih tugas sebagai Pengerusi ASEAN selepas Malaysia pada tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata persiapan media bagi sidang kemuncak kali ini lebih mantap dengan peningkatan kemudahan telekomunikasi dan capaian internet di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Sebanyak 33 unit ‘5G in a Box’ disediakan di kawasan KLCC manakala Telekom Malaysia (TM) membekalkan talian tetap internet dengan kelajuan maksimum 10 gigabit sesaat (10Gbps).
Selain itu, penggunaan teknologi Wi-Fi 7 membolehkan sehingga 3,000 peranti disambung serentak dan kapasiti itu boleh ditingkatkan kepada 4,000 peranti.-Berita RTM