KUCHING: Sarawak terus mengorak langkah ke hadapan menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang mengekalkan tujuh teras strategik Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 sebagai panduan utama pembangunan negeri.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, teras itu memberi tumpuan kepada pelaburan berimpak tinggi, kepelbagaian ekonomi, pendigitalan, kesejahteraan sosial dan pembangunan mampan.
“Ketika kita bergerak ke hadapan, kita kekal komited dalam menerapkan kelestarian alam sekitar dalam semua inisiatif dengan sasaran jangka panjang untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050,” katanya dalam ucapan pelancaran RMK-13 Sarawak dan Persidangan Ekonomi, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, RMK13 Sarawak disusun berasaskan 15 sektor sosio ekonomi utama.
Katanya, 15 sektor itu merangkumi peralihan tenaga, pembuatan dan pembangunan perusahaan kecil sederhana (PKS) dan pertanian komersil, pelancongan, kesenian, kebudayaan dan industri kreatif.
“Sektor lain merangkumi perhutanan dan pemuliharaan, perlombongan serta minyak dan gas.
“Kita juga terus fokus kepada pembangunan infrastruktur, pengangkutan, perkhidmatan perniagaan, transformasi digital dan inovasi, pendidikan, perkhidmatan sosial dan transformasi kerajaan,” katanya.
Abang Johari berkata, semua sektor terbabit mercerminkan lanskap ekonomi yang sedang berkembang dengan penekanan kepada inovasi, pertumbuhan inklusif dan kepelbagaian industri.
Katanya, peralihan tenaga menjadi pemacu utama transformasi Sarawak dengan lebih 62 peratus tenaga negeri kini datang daripada sumber boleh diperbaharui, terutamanya hidroelektrik.
“Kita menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada 10 gigawatt menjelang tahun 2030 dan 15 gigawatt menjelang 2035 serta 15 gigawatt menjelang 2035, selaras dengan aspirasi menjadi ‘Bateri ASEAN’.
“Dalam masa sama, gas akan berfungsi sebagai bahan api peralihan menerusi projek loji janakuasa kitaran gabungan di Miri, Samalaju dan Kuching bagi menyokong sistem tenaga bersih dan berdaya tahan,” katanya.
Abang Johari berkata, perusahaan milik negeri (SOE) akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin utama kepada pembangunan industri strategik Sarawak, selari dengan aspirasi menjadi negeri berpendapatan tinggi dan berdaya tahan menjelang 2030.
Katanya, SOE bukan sekadar entiti komersial, sebaliknya berfungsi sebagai ‘senjata strategik’ kerajaan dalam memperkukuh sektor perindustrian, keselamatan tenaga serta penciptaan peluang yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“SOE adalah penghubung antara kerajaan dengan swasta dan mereka menjadi tulang belakang kepada strategi pembangunan kita memacu industri, melindungi kepentingan tenaga dan mencipta peluang yang mensejahterakan rakyat,” katanya.
Abang Johari berkata bagi memperkukuh peranan dan tadbir urus SOE, Dasar Pemilikan Negeri akan dibentangkan dalam Belanjawan Negeri 2026 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) November ini.-BH Online
