Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memberikan penghormatan kepada mendiang remaja yang ditikam di sekolah, dengan meletakkan jersi Team MAS di tempat persemadiannya.
Hannah berkata, mendiang seorang remaja yang gemar bermain bola tampar dan mengamalkan gaya hidup aktif.
“Saya memberitahu ibunya bahawa saya mahu mendiang memiliki jersi kebangsaan kita dan ibunya berkata mendiang pasti akan menyukainya.
“Kami mendoakan supaya keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan di atas kehilangan mereka yang amat menyakitkan ini. Malaysia turut berduka bersama-sama mereka,” katanya dalam hantaran di Instagram hari ini.
Mendiang adalah pelajar 16 tahun yang maut akibat ditikam seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Selasa lepas.
Mayat pelajar perempuan itu akan disemadikan secara pembakaran di Krematorium Nirvana di Shah Alam, Selangor selepas tiga hari upacara sembahyang dan penghormatan yang berakhir malam tadi.-MyMetro Online