MERLIMAU, 19 Oktober -Keputusan kerajaan menarik balik subsidi ayam bernilai lebih RM1 bilion ringgit setahun membolehkan dana itu disalurkan semula kepada rakyat yang lebih memerlukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut diambil selepas mendapati subsidi berkenaan lebih banyak menguntungkan kartel dan syarikat besar, berbanding rakyat secara menyeluruh.
Katanya, dengan penjimatan itu, ia dapat memperkukuh dasar kebajikan dan membantu golongan yang benar-benar memerlukan.
“Sekarang keputusan kita tarik balik ‘price support ‘ bagi mengekalkan harga rendah. Wang tersebut akan disalurkan semula kepada rakyat. Jadi, dasar-dasar seperti ini adalah antara yang mesti dilaksanakan dan perlu difahami oleh semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka di Politeknik Merlimau.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada pegawai dan anggota penguat kuasa dan penjawat awam atas pengorbanan serta komitmen melaksana dasar kerajaan.
Katanya, jasa mereka tidak wajar dipinggirkan hanya kerana kesilapan kecil, sebaliknya perlu dihargai sebagai tulang belakang pentadbiran negara.
Sementara itu, beliau berkata, Program MADANI Rakyat menjadi platform untuk rakyat melihat sendiri hasil pelaksanaan projek dan inisiatif kerajaan.
Program tersebut akan memberi penerangan jelas terhadap rakyat sekali gus berperanan menepis tohmahan dan persepsi negatif yang dilemparkan terhadap kerajaan.
“Tujuan kita adakan PMR ini antara lain adalah menyantuni rakyat, biar rakyat tahu kita umumkan sekian untuk kementerian, jabatan projek. Rakyat ada yang baca, ada yang dengar, ada pandangan lain. Jadi tujuan kita mengajak rakyat melibat sendiri dan pegawai-pegawai bertugas akan untuk memberi dan penjelasan tindakan tindakan yang diambil” katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah , Menteri Pertahanan Datuk Seri Khalid Nordin dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 edisi Melaka menunjukkan kehadiran paling ramai sepanjang penganjuran PMR dengan jumlah kehadiran seramai 204,834 pengunjung.-Berita RTM