BINTULU, 19 Oktober – Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju tenaga hijau di rantau ini apabila berpotensi membekalkan sehingga 1,000 megawatt (MW) tenaga boleh baharu ke Singapura menjelang 2032.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata rundingan sedang dijalankan bagi memenuhi permintaan tinggi Singapura terhadap tenaga hijau yang mampan dan rendah karbon.
Menurut beliau, Sarawak bersedia membekalkan tenaga tersebut namun menegaskan bahawa pelaburan strategik perlu turut dilakukan di negeri ini.
“Singapura memerlukan 1,000 megawatt tenaga daripada Sarawak menjelang 2032. Kita boleh membekalkan tenaga itu, tetapi saya nyatakan kepada mereka – jika kamu (Singapura) mahukan tenaga, kamu mesti melabur.
“Kita mahu pelaburan hijau dikongsi bersama di Sarawak kerana kita mempunyai sumber kuasa tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Sambutan Minggu Belia Sarawak 2025 di Dewan Suarah di sini, petang tadi.
Abang Johari berkata Sarawak bukan sahaja memiliki sumber tenaga hijau yang melimpah, malah komited memperkukuh pembangunan ekonomi berasaskan teknologi masa depan.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan cip kecerdasan buatan (AI) tempatan bagi melahirkan generasi belia berkemahiran tinggi yang mampu menubuhkan syarikat teknologi bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata usaha itu membuktikan bahawa Sarawak berada di landasan tepat ke arah ekonomi hijau dan digital yang mampan serta berdaya saing, sejajar dengan visi menjadikan negeri ini sebagai kuasa ekonomi baharu di rantau ASEAN.-Berita RTM