Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama dengan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) bagi memperluas capaian rawatan dan meningkatkan kesedaran penyakit buah pinggang dalam kalangan rakyat, termasuk golongan berpendapatan rendah (B40).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata penyakit buah pinggang kronik (CKD) kini menjadi antara cabaran kesihatan awam paling mendesak di negara ini, dengan lebih 50,000 pesakit bergantung kepada rawatan dialisis.

Katanya, jumlah itu dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2040 sekiranya tiada langkah pencegahan berkesan dilaksanakan.

“KKM komited memperkukuh akses rawatan, pengesanan awal dan pencegahan CKD, di samping memperluas kerjasama dengan NGO seperti NKF bagi memastikan penjagaan berkualiti dan mampan dapat dinikmati semua pesakit,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Dialisis Tahunan ke-18 (ADC 2025) anjuran NKF di Petaling Jaya, semalam.

Dr Dzulkefly berkata, pelaksanaan dasar ‘Peritoneal Dialysis (PD) First’ yang menggalakkan pesakit layak menjalani rawatan di rumah sendiri memberi lebih fleksibiliti dan penjimatan kos, bukan sahaja kepada pesakit malah kepada sistem kesihatan awam.

Menurutnya, KKM juga akan memperkukuh program saringan komuniti dan kempen kesedaran di kawasan berpendapatan rendah bersama NKF serta NGO lain, selain memastikan pesakit layak menerima bantuan subsidi rawatan dialisis dan pemindahan organ.

“Kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan NKF dan NGO lain bagi memperluas program saringan serta kempen kesedaran di kawasan B40.

Usaha ini penting untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat pengesanan awal penyakit buah pinggang dan pesakit yang layak menerima bantuan subsidi rawatan dialisis serta pemindahan organ,” katanya.

Beliau menambah, antara inisiatif KKM pada masa hadapan termasuk memberi tumpuan kepada pendidikan awam mengenai kawalan diabetes dan hipertensi; pelaksanaan program kesihatan di sekolah serta pembangunan alat penilaian risiko digital bagi menggalakkan tindakan awal menjaga kesihatan buah pinggang.

Persidangan dua hari bertemakan “Innovate, Elevate, Transform” itu menghimpunkan lebih 500 peserta, termasuk pakar nefrologi, jururawat, pengurus pusat dialisis dan pegawai perubatan bagi membincangkan masa depan rawatan buah pinggang, pemindahan organ, nefrologi hijau, vaksinasi serta kualiti hidup pesakit dialisis.

Antara pengisian utama ialah Simposium HIV dan CKD yang memberi tumpuan kepada rawatan pesakit HIV positif, stigma sosial serta cabaran akses kepada pemindahan organ.

Sementara itu, Pengerusi NKF, Datuk Dr Zaki Morad Mohd Zaher, berkata usaha menangani penyakit buah pinggang memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi kerjasama pelbagai sektor termasuk kerajaan, NGO, pengamal perubatan, industri dan masyarakat.

“NKF bukan sekadar menyediakan rawatan dialisis bersubsidi, tetapi turut menumpukan kepada aspek pencegahan, pendidikan, penyelidikan dan advokasi.

Semua ini hanya berjaya menerusi kerjasama erat antara sektor awam dan swasta,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran ADC 2025 juga bertepatan dengan pelaksanaan Resolusi yang dibentangkan pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA78) anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang buat julung kali mengiktiraf penyakit buah pinggang dalam agenda Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dunia.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah (Kanan), Bahagian Pembangunan Perubatan KKM, Dr Izzuna Mudla Ghazali; Bekas Ketua Perkhidmatan Nefrologi KKM merangkap Ahli Lembaga Pengarah NKF, Dr Sunita Bavanandan; Naib Pengerusi Lembaga Pengarah NKF, Dr Thiruventhiran Thilaganathan; Timbalan Ketua Perkhidmatan Nefrologi KKM, Dr Mohamad Zaimi Abdul Wahab; Ketua Pegawai Eksekutif NKF, Choo Kok Ming dan Pengerusi Jawatankuasa Saintifik ADC 2025, Associate Prof Dr Wan Ahmad Hafiz.

Dalam pada itu, Dr Zaki menyifatkan kejayaan ADC 2025 sebagai satu lagi langkah penting dalam memperkukuh rangkaian profesional kesihatan buah pinggang negara serta memastikan tiada pesakit tercicir dalam mendapatkan rawatan.

“Menangani penyakit buah pinggang kronik (CKD) memerlukan pendekatan merentasi pelbagai sektor.

Kerjasama antara pengamal kesihatan, penyelidik, NGO, kerajaan, sektor swasta, industri dan orang awam amat penting.

Bersama-sama, kita boleh mengurangkan beban penyakit buah pinggang serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia,” kata Dr Zaki.-BH Online