Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BAITULMAQDIS: Hamas membebaskan 20 tebusan Israel terakhir yang masih hidup pada Isnin di bawah perjanjian gencatan senjata.

Ia menandakan satu langkah besar ke arah menamatkan perang dahsyat dua tahun di Gaza, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang menjadi perantara perjanjian itu, mengisytiharkan ‘permulaan baharu’.

Tentera Israel mengesahkan semua tebusan yang masih hidup sudah diterima selepas dipindahkan dari Gaza oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

Ia mencetuskan sorakan, pelukan dan tangisan dalam kalangan ribuan orang yang menunggu di ‘Dataran Tebusan’ di Tel Aviv, Israel.

Bas membawa tahanan Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian itu juga tiba di Gaza, menurut seorang pegawai yang terbabit dalam operasi berkenaan kepada Reuters.

“Inilah hari yang hebat. Ini satu permulaan baharu,” kata Trump sejurus tiba di Israel, di mana beliau disambut sebagai wira sebelum berucap di Parlimen Israel (Knesset) dan berlepas ke Mesir bagi menghadiri sidang kemuncak yang bertujuan membina asas keamanan berkekalan di Gaza.

Apabila ditanya sama ada perang dua tahun di Gaza sudah berakhir, beliau menjawab: “Ya”.

Gambar awal menunjukkan enam daripada tebusan Israel yang dibebaskan berdiri sambil berbual dan tersenyum bersama anggota tentera yang menyambut mereka.

Di Gaza, kira-kira sedozen lelaki bersenjata bertopeng dan berpakaian serba hitam, dipercayai anggota sayap bersenjata Hamas, tiba di Hospital Nasser, tempat pentas dan kerusi disediakan bagi menyambut tahanan Palestin yang kembali.

Pembebasan tebusan serta tahanan Palestin itu adalah bahagian penting dalam fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang dimeterai minggu lalu di Sharm el-Sheikh, Mesir, lokasi sidang kemuncak pada Isnin.

Lebih 20 pemimpin dunia akan membincangkan langkah susulan berdasarkan pelan 20 perkara Trump yang bertujuan mencapai keamanan berkekalan selepas perang dua tahun yang bermula pada 7 Oktober 2023.

Pentadbiran Trump memeterai perjanjian itu bersama Mesir, Qatar dan Turkiye, dengan fasa seterusnya membabitkan pembentukan sebuah badan antarabangsa, ‘Lembaga Keamanan’, yang akan diterajui Trump sendiri.

Namun, banyak perkara masih berisiko gagal seperti mana usaha gencatan sebelum ini, termasuk isu pentadbiran Semenanjung Gaza selepas pertempuran berakhir dan masa depan Hamas.

Kemunculan anggota bersenjata Hamas di Hospital Nasser pada Isnin menonjolkan cabaran besar dalam meredakan kebimbangan Israel terhadap pengaruh berterusan kumpulan Islam itu yang memerintah Gaza sejak 2007.

Sumber keselamatan Palestin berkata, Hamas menembak mati 32 individu yang didakwa sebagai anggota ‘kumpulan jenayah’ di Bandar Gaza dalam operasi keselamatan selepas gencatan senjata diumumkan.

Ketika tiba di Knesset, Trump berkata pergerakan Hamas akan mematuhi syarat dalam pelan beliau yang menetapkan kumpulan itu perlu melucutkan senjata.

Antara isu yang dijangka menjadi halangan termasuk penarikan semula sepenuhnya tentera Israel dari Gaza serta perbincangan mengenai penubuhan sebuah negara Palestin, perkara yang ditolak ramai rakyat Israel.

Mesir mengesahkan bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, akan menghadiri sidang kemuncak berkenaan.

Trump akan menjadi Presiden Amerika Syarikat keempat yang berucap di Knesset selepas Jimmy Carter (1979), Bill Clinton (1994) dan George W Bush (2008).

Beberapa mayat daripada 26 tebusan yang disahkan maut serta dua lagi yang masih belum diketahui nasibnya juga dijangka diserahkan pada Isnin. Sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk mencari mayat yang sukar dikesan.

Puluhan bas membawa hampir 2,000 tahanan Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel tiba di Gaza.

Kebanyakan mereka ditahan sepanjang perang di Gaza, manakala 250 lagi adalah banduan yang disabitkan kesalahan terbabit dalam serangan berdarah 7 Oktober 2023 atau ditahan atas dakwaan kesalahan keselamatan.

Berhampiran Kem Reim di Israel, lokasi tebusan akan dibawa sebelum dihantar ke hospital, orang ramai berbaris di tepi jalan sambil mengibarkan bendera Israel yang dihiasi reben kuning, simbol memperingati tebusan. – REUTERS