KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Jumaat ini dirangka dengan mengambil kira keperluan rakyat secara keseluruhan termasuk keluarga dan golongan muda.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pada asasnya, belanjawan itu berteraskan kepada persediaan melindungi isi rumah daripada tekanan semasa, sambil meletakkan asas bagi pertumbuhan masa depan.
“Bagi keluarga yang bergelut menyeimbangkan bajet bulanan, atau anak muda Malaysia yang sedang mencari pekerjaan pertama, ketidaktentuan bukan sekadar konsep, tetapi realiti kehidupan. Belanjawan 2026 digubal dengan mengambil kira mereka sebagai keutamaan utama.
“Ambil contoh BUDI95, program subsidi RON95 bersasar baharu. Bagi rakyat kebanyakan, ia memastikan harga bahan api kekal mampu milik. Bagi negara, ia menutup ketirisan subsidi dan menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, dana yang boleh disalurkan semula kepada pendidikan yang lebih baik, kesihatan yang kukuh dan infrastruktur moden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup di di Forum Megatrends Khazanah 2025 (KMF 2025) anjuran Khazanah Nasional Bhd di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, Belanjawan 2026 turut memperkukuh perlindungan sosial dan meningkatkan daya tahan isi rumah.
Pada masa sama, katanya, ia melabur untuk masa depan negara, dalam bidang semikonduktor, peralihan tenaga, pendigitalan, syarikat pemula serta industri masa depan.
“Hala tuju kita jelas. Malaysia akan menjalani proses perindustrian semula melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), menerajui sektor semikonduktor menerusi Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), mempercepatkan peralihan tenaga, serta memperkukuh pendigitalan dan inovasi.
“Semua strategi ini berkongsi satu matlamat, mewujudkan pekerjaan lebih baik, perniagaan lebih kukuh, dan peluang lebih cerah untuk generasi akan datang.
“Belanjawan ini juga memperkukuh asas fiskal negara, mengecilkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, mengurangkan kebergantungan kepada hutang, dan memperkukuh tadbir urus melalui Akta Tanggungjawab Fiskal 2023 serta undang-undang baharu berkaitan ketelusan,” katanya.
Amir Hamzah menambah, Belanjawan 2026 bukanlah usaha bersendirian kerana ia adalah pembukaan kepada Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang akan menggariskan haluan negara dari 2026 hingga 2030.
“Jika Belanjawan 2026 berkaitan persediaan, maka RMK13 pula berkaitan haluan, yang akan memandu Malaysia melalui dekad transformasi yang menentukan masa depan negara.
“RMK13 bukan sekadar pelan ekonomi, ia adalah pelan untuk rakyat Malaysia. Untuk pekerja, ia bermakna pekerjaan yang lebih baik. Untuk isi rumah, kehidupan yang lebih mampu. Untuk perniagaan kecil, sokongan yang lebih kukuh untuk berkembang. Dan untuk golongan muda, lebih banyak peluang untuk berjaya di tanah air sendiri,” katanya.-BH Online