Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TANJUNG MALIM, 5 Oktober – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dijangka menerima peruntukan lebih besar dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Oktober ini di Dewan Rakyat.

Perkara itu susulan pelancaran Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 yang dijadualkan berlangsung tahun depan, bagi memperkukuh hala tuju dan pembangunan sistem pendidikan tinggi negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata peruntukan tambahan itu akan merangkumi pelbagai aspek penambahbaikan sejajar dengan pelaksanaan pelan strategik berkenaan.

“Kita dengan rasminya akan mempunyai Pelan Pendidikan Tinggi yang baharu, iaitu bagi tempoh 2026 hingga 2035 selama 10 tahun. Maka, dalam bajet kali ini, kita harapkan akan ada juga perancangan dan pengumuman yang dibuat selaras dengan pelan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Pendidik Global (GEA) 2025 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, pada Sabtu.

Program GEA yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober itu menampilkan pelbagai acara berteraskan pengiktirafan dan pertukaran intelektual antara pendidik tempatan serta antarabangsa.

Antara pengisian utama ialah Persidangan Agung Guru, Forum Pendidikan Nilai MADANI, sesi perkongsian oleh finalis GEA, serta lawatan fakulti dan sekolah bagi pendidik antarabangsa untuk meninjau amalan pendidikan di Malaysia.

Sebanyak 244 pencalonan diterima daripada 57 negara termasuk Rusia, Australia, Argentina, Afrika Selatan, India, Iran, Pakistan, Indonesia dan Malaysia.-Berita RTM