SEPANG, 4 Oktober – Kerajaan Negeri Selangor menyatakan sokongan penuh terhadap misi kemanusiaan yang digerakkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) ke Gaza.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lebih 20 rakyat Malaysia termasuk warga Selangor menyertai misi antarabangsa itu yang membawa kesan besar kepada perjuangan kemanusiaan rakyat Palestin.
Beliau turut berkongsi pengalaman ketika konflik besar Gaza dua tahun lalu, dengan menegaskan pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan Malaysia serta badan bukan kerajaan. Namun, katanya, kekejaman dan kemusnahan di bumi Gaza masih berterusan.
“Selangor merupakan negeri pertama melancarkan tabung khas bagi pembinaan apartmen tujuh tingkat, masjid dan tangki air Darul Ehsan di Gaza, selain pernah menyalurkan bantuan kenderaan serta ambulans,” katanya.
Tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta kepada Malaysia International Humanitarian Relief and Care Centre (MIRAC) yang turut melaksanakan operasi kemanusiaan di dalam negara termasuk ketika bencana banjir dan tanah runtuh.
Datuk Seri Amirudin berharap sumbangan itu dapat menyemarakkan semangat rakyat untuk terus menyokong perjuangan kemanusiaan di Gaza, sekali gus memberi tekanan kepada rejim Zionis agar menghentikan kekejaman terhadap Palestin.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MAPIM serta semua pihak yang terlibat, sambil menegaskan Selangor akan terus mendukung mesej kesabaran, rahmah dan kasih sayang dalam memperjuangkan isu kemanusiaan sejagat.-Berita RTM