Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik segala bentuk rundingan bersama antara negara Arab, negara Islam serta Hamas dalam menentukan hala tuju berikutnya ke arah pelan damai yang digagaskan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia sudah menyatakan dukungan terbatas di atas pelan dikemukakan itu, oleh kerana Malaysia mahu melihat jaminan kepada keselamatan dan kemerdekaan Palestin.

“Mengenai perjanjian itu, saya sudah menyatakan dukungan terbatas kerana kita masih mahu melihat jaminan keselamatan kemerdekaan Palestin. Keputusan kerajaan ini tentunya terikat dengan keputusan negara Arab, negara Islam dan Hamas sendiri. 

“Kerana Hamas menerima kenyataan bahawa harus ada hentikan serangan, bebaskan Palestin dan Gaza serta berikan ruang kemanusiaan serta bebaskan semua tahanan baik di Gaza atau pun di Israel.

“Tapi butir-butir lanjut harus diperinci, dicerakin supaya semua pihak digabungkan terutama Hamas dan negara Arab jiran dan negara Islam. Bagi pihak Malaysia apa saja yang munasabah, diputuskan bersama akan kita lakukan,” katanya dalam satu kenyataan secara langsung menerusi Facebook hari ini.

Mengulas misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Anwar menegaskan semua aktivis sudah memberi sumbangan besar terutama dalam membangkitkan kesedaran dunia mengenai nasib yang menimpa Palestin khususnya penduduk di Gaza.

“Mereka tahu tidak begitu mudah untuk sampai (ke Gaza) di bawah rejim penjajah Israel, tetapi mereka sudah memberi sumbangan besar, kesedaran kepada ratusan rakyat di dunia.

“Bahawa rejim ini tidak hanya menentang apa yang mereka ungkapkan sebagai kelompok ganas, walaupun bagi kita ini gerakan pembebasan Palestin dan Gaza, tetapi mereka (Israel) juga melarang, menghindar dengan keras apa juga bantuan kemanusiaan,” katanya.

Anwar berkata, tindakan oleh Israel ini berlaku kerana negara itu dipimpin, dikendali atau mempunyai falsafah yang sangat kejam dan tidak bertamadun. 

“Negara yang bertamadun sekurang-kurangnya akan memberi ruang untuk bantuan kemanusiaan (masuk). Ini pengajaran yang tersebar di seluruh dunia dan saya percaya rundingan mutakhir yang digagaskan Presiden Donald Trump itu juga berhasil sebagainya kerana sentimen menyeluruh seluruh rakyat dunia,” katanya. 

Awal hari ini, Hamas mengumumkan kesediaan untuk segera memasuki rundingan bagi membebaskan semua tebusan Israel berdasarkan pelan damai Gaza yang dikemukakan Trump.

Keputusan Hamas itu sekali gus menandakan satu perkembangan yang dilihat berpotensi memecah kebuntuan selepas berbulan-bulan usaha gencatan senjata gagal. Bagaimanapun, kumpulan itu tidak menerima pelan Trump tanpa syarat.

Qatar, Mesir dan Turkiye sebelum ini meningkatkan tekanan supaya Hamas menerima cadangan pelan itu, namun kenyataan balas dikeluarkan kumpulan itu tidak menyentuh isu pelucutan senjata atau pemusnahan persenjataan – syarat kritikal dalam pelan Trump yang berulang kali ditolak kumpulan itu.

Pelan damai Trump sebelum ini turut menggariskan pembebasan 250 tahanan Palestin yang berdepan hukuman penjara seumur hidup serta 1,700 tahanan yang ditahan sejak perang bermula, sebagai pertukaran dengan pembebasan 48 tebusan Israel, 20 daripadanya dipercayai masih hidup.- BH Online