Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden kematian seorang pelajar yang meninggal dunia ketika menyertai Kejohanan Sukan Ragbi di sebuah sekolah di sini, semalam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya menzahirkan rasa sedih dan masih menunggu laporan hasil bedah siasatan terhadap mangsa yang dijalankan semalam.

“Kita ambil tanggungjawab sepenuhnya setiap kali ada pertandingan ini, semua persiapan untuk kecemasan kita telah ambil kira dan memang menjadi sebahagian besar tanggungjawab kita memastikan keselamatan anak-anak”, katanya selepas menghadiri majlis tahlil dan bacaan Yassin di surau Al-Hamdaniah, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Dalam kejadian semalam, Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16 tahun meninggal dunia secara mengejut ketika menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan 2025 di Ipoh.

Muhammad Fauzan dikatakan rebah di hadapan khemah sebelum dikejarkan ke Hospital Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pagi semalam.-Berita RTM