Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akur sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) tidak diteruskan pembentangannya pada sidang Dewan Rakyat bulan ini. 

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata ia sebagai menghormati saranan UMNO supaya RUU sedia ada itu ditangguhkan dan tidak diteruskan untuk pembentangan di persidangan Dewan Rakyat akan datang, sehinggalah dilakukan rombakan besar.

“Jadual Parlimen kali ini diberikan keutamaan kepada pembentangan Belanjawan (2026) Jumaat ini. Jadi minggu depan bermula Isnin fokusnya adalah Belanjawan 2026, menjadikan urusan kerajaan yang lain itu kita boleh buat selepas belanjawan. 

“Tiada isu (di pihak KPKT), bahkan kami mengalu-alukan agar saya ada lebih masa untuk kaji pandangan daripada konvensyen (PSB). Ianya bagus dan saya gembira melihatnya,” katanya selepas Program Sumbangan Kasih MADANI Sempena Deepavali 2025 di sini hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilapor berkata UMNO berpendirian tegas untuk menangguhkan RUU PSB sedia ada dan tidak diteruskan untuk pembentangan pada sidang Dewan Rakyat akan datang sehingga dilakukan rombakan besar yang mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

Ketua Pasukan Khas UMNO bagi Penambahbaikan RUU PSB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Naib Presiden UMNO dilapor berkata parti itu akan meminta RUU PSB yang dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat minggu depan, dirujuk ke Jawatankuasa Khas Parlimen.

Ia bagi membolehkan RUU itu ditambah baik supaya cadangan akta lebih komprehensif, selain mengambil kira pandangan dan kritikan pelbagai lapisan masyarakat.

Kor Ming berkata beliau mengarahkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) melakukan kajian lebih terperinci berhubung resolusi dibentangkan dalam Konvensyen PSB termasuk cadangan penambahbaikan RUU itu.

Beliau berkata pindaan akan dilaksanakan sekiranya resolusi dan cadangan penambahbaikan dibentangkan oleh UMNO itu praktikal dan memberi manfaat kepada semua pihak.

“Sebagai kerajaan yang berjiwa rakyat, KPKT sentiasa mengamalkan dasar hati terbuka, minda terbuka dan pintu terbuka. Sebab itu saya selalu mengalu-alukan semua pandangan yang bernas, kerana teguran yang konstruktif akan diambil kira apabila merangka apa-apa akta atau undang-undang.

“Objektif RUU PSB adalah untuk membantu rakyat khususnya penduduk di flat yang daif dan usang,” katanya.-BH Online