KUALA LUMPUR, 4 Oktober – Semua 23 rakyat Malaysia yang ditahan di Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka tiba di Istanbul, Turkiye pada pukul 9 malam ini waktu Malaysia.
Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal memaklumkan, pesawat khas yang membawa aktivis dan sukarelawan terbabit kini masih berada di Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel.
“Waktu berlepas belum dapat dipastikan kerana ia bergantung sepenuhnya kepada jadual penerbangan.
“Berkemungkinan besar penerbangan akan berlepas sekitar pukul 1 atau 2 petang ini waktu Turkiye. Selepas penerbangan selama kira-kira dua setengah jam, kapal terbang dijangka tiba di Istanbul antara pukul 3 hingga 4 petang waktu tempatan,” katanya ketika dihubungidi sini, hari ini.
Bagaimanapun, pihaknya belum menerima sebarang maklumat mengenai penerbangan pulang kesemua peserta misi berkenaan ke Malaysia.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, seramai 23 rakyat Malaysia yang ditahan di Israel akan diterbangkan ke Istanbul, Turkiye hari ini dengan pesawat khas dari Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel.
Menurut Datuk Seri Anwar, proses membawa keluar kumpulan aktivis dan sukarelawan terbabit dilakukan hasil kerjasama penuh kerajaan Turkiye selepas persetujuan dicapai dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Katanya, sebaik tiba di Istanbul, kumpulan berkenaan akan ditempatkan di sana selama satu hingga satu setengah hari bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan akibat trauma dialami semasa tahanan.-Berita RTM