KUALA LUMPUR: Malaysia sedang melaksana usaha bersungguh-sungguh untuk membawa keluar semua aktivis negara yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) keluar menerusi Turkiye, dengan usaha itu dijangka mengambil masa satu atau dua hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau sudah menyampaikan permintaan itu kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan dan pemimpin dunia Islam itu turut bersetuju.
“Saya sudah meminta jasa baik Presiden Erdogan supaya jika boleh, membawa mereka (keluar) dari mana-mana lokasi sekitar Israel ke Istanbul dengan pesawat khas Turkiye yang akan mengambil rakyatnya sendiri.
“Dari Istanbul, insya-Allah kita akan bawa pulang rakyat kita. Beberapa persefahaman awal sudah dicapai sejak pagi tadi. Itu (usaha bawa keluar dijangka) dalam satu dua hari ini.
“Daripada pagi tadi, nampak beberapa persefahaman sudah dicapai,” katanya ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khadijah di Pantai Dalam di sini, hari ini.
Anwar menjelaskan, usaha membawa keluar itu turut membabitkan peranan Majlis Keselamatan Turkiye yang diketuai Dr Ibrahim Kalin.null
“Beliau (Erdogan) sudah menugaskan Dr Ibrahim membantu kita. Ini penting kerana kita memerlukan tekanan antarabangsa yang menyeluruh.
“Sepanjang semalam, Dr Ibrahim sudah memaklumkan bahawa hubungan kita dengan Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Turkiye memberi manfaat dalam usaha ini.
“Walaupun kita tiada sebarang hubungan dengan rejim Zionis Israel, saluran diplomasi dengan negara sahabat banyak membantu,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, semua 23 aktivis Malaysia yang ditahan rejim Zionis semalam, berada dalam keadaan selamat biarpun ditahan secara zalim.
“Tugas utama ialah mencari jalan untuk menyelamatkan mereka. Apa juga cara dan kaedah yang munasabah. Kita juga berdoa Allah SWT melindungi mereka. Kita berharap (Israel) jangan ganggu rakyat kita, jangan dera mereka. Penjara itu sendiri sudah satu penderaan.
“Namun, setakat ini laporan daripada Turkiye menunjukkan keadaan mereka terkawal. Inilah yang kita maksudkan dengan kebijaksanaan diplomasi.
“Kita berhubung rapat dengan semua pihak, kerana yang boleh mempengaruhi Israel ialah AS. Oleh itu, kita menggunakan saluran Qatar dan Turkiye untuk menyampaikan pandangan kita,” katanya.
Perdana Menteri berkata, maklumat terakhir diterimanya menyatakan sukarelawan Malaysia dalam misi GSF tetap kekal bersemangat dan kental.
“Biarpun ada yang menyatakan mereka tidak sampai ke Gaza, harus difahami mereka sedang berdepan rejim penjajah yang ganas. Apa yang mereka lalui ini sudah membuka mata ratusan juta rakyat dunia.
“Mereka berkorban, menempuh ombak di lautan, berdepan ketidakpastian keselamatan, malah semua telefon mereka dicampakkan ke laut. Namun yang penting adalah keselamatan mereka,” katanya.
Anwar berkata, dua pengajaran besar daripada peristiwa ini iaitu semua aktivis misi GSF termasuk dari Malaysia sudah memberi sumbangan besar dalam mencelikkan masyarakat dunia terhadap kekejaman Zionis.
“Hubungan baik Malaysia melalui saluran diplomasi juga terbukti membantu dalam menyelamatkan rakyat kita,” katanya.-BH Online