Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel memintas Flotila Global Sumud yang membawa orang awam tidak bersenjata serta bekalan kemanusiaan penting untuk Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tindakan menghalang misi kemanusiaan itu jelas memperlihatkan penghinaan mutlak Israel bukan sahaja terhadap hak rakyat Palestin, malah turut mencabar nurani dunia.

Menurutnya, flotila tersebut melambangkan solidariti, belas kasihan dan harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang berada di bawah sekatan.

“Malaysia akan menggunakan segala cara yang sah dan berlandaskan undang-undang bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya dalam hal melibatkan warganegara Malaysia.

“Keselamatan serta maruah rakyat kita adalah keutamaan, dan kita tidak akan membiarkan ia digugat tanpa sebarang tindakan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, rejim Israel memintas kapal GSF awal pagi ini dengan melakukan beberapa gangguan antaranya menyimbah cecair ke atas kapal dan menahan sukarelawan di perairan antarabangsa.

Seramai 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi tersebut telah ditahan secara tidak sah oleh Israel.

Ia melibatkan Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil yang berada di atas Kapal Alma dipintas jam 9.44 malam waktu Gaza.

Sejurus selepas itu, Kapal Sirius yang dinaiki Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli dipintas dan ditahan jam 9.47 malam waktu Gaza.

Penyanyi popular, Zizi Kirana yang menaiki Kapal Huga dan sukarelawan Farah Lee dan Danish Nazram di atas Kapal Grande Blue turut menerima nasib sama.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan, selagi rakyat Palestin terus dinafikan hak serta aspirasi asasi mereka, Malaysia akan tetap berdiri teguh bersama perjuangan mereka.

“Kita tidak akan berhenti menuntut penghujung kepada ketidakadilan dan perampasan yang telah menimpa Palestin sejak sekian lama,” ujar beliau.-Sinar Harian