KUALA LUMPUR: Himpunan Sumud Flotilla yang diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak, di sini, petang tadi mencatatkan kehadiran lebih 5,000 orang sebagai solidariti kepada rakyat Malaysia yang ditahan di perairan Gaza, oleh Israel, awal pagi tadi.
Himpunan yang dianjurkan oleh Yayasan Mawaddah itu menyatukan pemimpin dari pelbagai parti politik sebagai satu suara menyatakan kecaman dan bantahan terhadap tindakan rejim Zionis.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata meskipun notis yang dikeluarkan untuk berhimpun dibuat dalam waktu yang singkat iaitu pagi tadi, namun ramai yang hadir memberikan sokongan dan dukungan yang besar bersama-sama mengutuk tindakan rejim Zionis.
“Rakyat Malaysia pada hari ini sedang mengikuti perkembangan perjalanan Global Sumud Flotilla ke Gaza, dan hari ini kita dapat lihat manifestasi kebangkitan rakyat yang cintakan keamanan dan cakna kebajikan rakyat di Gaza dan kezaliman Israel.
“Kita juga dapat melihat dalam himpunan ini semua pimpinan parti politik hadir walaupun berbeza fahaman namun tetap bersatu hati menentang penindasan di Gaza,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum bantahan menuntut tiga perkara berhubung isu Palestin dan sekatan Misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, berkata, tiga tuntutan yang dinyatakan dalam memorandum yang diserahkan kepada pihak kedutaan.
“Tuntutan yang pertama mendesak pembebasan segera semua sukarelawan GSF tanpa sebarang kecederaan atau apa-apa tindakan susulan; kedua adalah kita mendesak Amerika Syarikat supaya menggunakan pengaruhnya ke atas Israel supaya membenarkan kapal-kapal dalam misi ini yang membawa bekalan makanan, perubatan dan bantuan-bantuan lain untuk sampai ke pantai perairan di Semenanjung Gaza.
“Ketiga, kami mendesak Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk memastikan pemimpin Israel, Benjamin Netanyahu tidak mengganggu proses perdamaian yang sedang dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri turut berusaha memastikan nasib semua sukarelawan berada dalam selamat.
“Datuk Seri Anwar terus menjadi pendesak yang paling kuat sekali dan kalau kita dalam misi GSF ini pun tidak ada mana-mana pemimpin negara lain yang berani untuk
jadi penaung melainkan Malaysia.
“Saya yakin, beliau tidak hanya berdiam diri dan sentiasa berusaha memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia yang terbabit dalam GSF,” katanya.-BH Online