KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh ketahanan siber negara memerlukan pendekatan menyeluruh merangkumi pelaburan teknologi, pengukuhan kerjasama serantau dan pembinaan daya tahan rakyat.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata usaha itu perlu membabitkan tiga perkara iaitu melabur dalam teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Ia juga perlu membabitkan kerjasama serantau khususnya melalui ASEAN dan rakan strategik dipercayai termasuk rangkaian ASEAN Cyber Defence Network yang terbukti berkesan.
“Selain itu perlu membabitkan usaha membina daya tahan manusia kerana rakyat, anggota tentera dan kepimpinan adalah benteng terakhir dalam mendepani ancaman digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan Siber Siaga 2025 sempena Pameran Cyber Digital Services, Defence and Security Asia Exhibition and Conference (CyberDSA) 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Tan Sri Datuk Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Datuk Shamsuddin Ludin.
Mengulas lanjut, Adly berkata, tanggungjawab mempertahankan ruang siber bukan hanya dipikul kerajaan, sebaliknya turut memerlukan pembabitan industri, golongan akademik dan masyarakat sivil.
“Industri pemacu inovasi, universiti membentuk bakat masa depan, manakala rakyat pula menjadi benteng pertama menangkis maklumat palsu.null
“Peranan AI kini menjadi penting sama seperti bekalan elektrik dan air. Kegagalan, penggodaman atau manipulasi teknologi juga mampu melumpuhkan tentera, ekonomi dan masyarakat.
“AI bukanlah ‘silap mata,’ ia boleh dipalsukan dengan data salah, dimanipulasi pihak bermusuhan untuk menyebarkan maklumat palsu.
“Jika pemimpin bergantung sepenuhnya kepada AI yang diganggu, maka siapa sebenarnya membuat keputusan, manusia atau algoritma bermusuhan,” katanya.
Beliau berkata, teknologi perlu berkhidmat kepada strategi, bukan sebaliknya dan tanggungjawab muktamad tetap terletak pada manusia untuk menilai implikasi terhadap nyawa, kestabilan dan kedaulatan negara.
Siber Siaga yang memasuki edisi keempat sejak dilancarkan secara rasmi itu, sekali lagi dianjurkan di MITEC sebagai simbol komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperkukuh ketahanan siber negara.
Mengimbas edisi tahun lalu bertemakan ‘Securing the Quantum Future’, Adly berkata perbincangan ketika itu menekankan ancaman strategi ‘store now, decrypt later’ yang dijangka memberi kesan menjelang 2030.
“Tahun ini, medan pertempuran melebar melangkaui isu kuantum, menyerap ke dalam kehidupan seharian kita. Tema 2025, ‘Battle Beyond Borders’ bersama forum ‘Battlefield Without Borders: Geopolitics, Military Strategy and Technological Supremacy’ memberi tumpuan kepada dimensi strategik dan teknologi dalam ruang peperangan baharu ini.
“Ancaman siber masa kini ialah serangan yang tidak kelihatan, musuh tanpa identiti dan garis pemisah antara perang serta damai yang semakin kabur.
“Kita tidak lagi bersedia untuk ancaman masa depan, tetapi sedang berdepan dengan medan siber semasa tanpa sempadan dan tidak terlihat yang sudah membentuk cara negara bersaing, bertahan dan terus hidup,” katanya.-BH Online