KUALA LUMPUR : Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang bakal dilaksana akan menjadi rangka kerja undang-undang terbaharu untuk memastikan pekerja dilindungi terutama ketika diluar waktu bekerja, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pengenalan skim perlindungan itu berpunca dari kesedaran bahawa tekanan kerja tidak terhenti hanya di pintu pagar kilang atau pejabat.
“Dalam era pengaturan yang fleksibel dan panjang, pembaharuan ini akan menyelaraskan perlindungan dengan realiti cara setiap orang hidup dan bekerja hari ini.
“Apa yang penting, ia akan memanjangkan perlindungan sepanjang masa, menyedari bahawa kemalangan dan kecederaan tidak mengenal waktu,” katanya menyampaikan ucaptama pada Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim serta Presiden Kesatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammad Azman Aziz Mohammed.
Media sebelum ini melaporkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) akan dipinda untuk memperkenal dan memasukkan seksyen baru khusus berkaitan SKBBK.
Ketika ini, di bawah akta berkenaan, terdapat dua skim iaitu Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan, namun ia lebih menumpukan kepada perlindungan ketika waktu bekerja.
SKBBK diperkenal bertujuan memastikan liputan perlindungan 24 jam sehari dalam tempoh tujuh hari seminggu kepada pekerja yang layak semasa tempoh penggajian.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata perlindungan sosial bukan sekadar sistem birokrasi pemberian faedah, tetapi ia harus dilihat sebagai infrastruktur moral.
Dalam tradisi Islam, beliau menegaskan Baitulmal diperkenal sejak dulu untuk memastikan kekayaan digunakan untuk memberi manfaat kepada orang lain khususnya golongan miskin, balu, yatim piatu serta warga emas.
“Berpandukan prinsip ini, Malaysia membentuk semula perlindungan sosialnya sendiri. Kami memperluaskannya kepada mereka yang sudah lama berada di luar perlindungan. Sebagai balasan kepada pekerja tidak formal, suri rumah serta pemandu gig yang turut menikmatinya,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Malaysia bersedia menuju negara menua, dengan data menunjukkan menjelang 2030 satu daripada tujuh rakyat Malaysia akan berumur lebih daripada 60 tahun.
“Perubahan ini akan memberi kesan besar kepada bentuk masyarakat kita, dan kita mesti bersedia. Warga emas membawa kebijaksanaan dan kemahiran.
“Tugas kita ialah menyediakan penjagaan yang perlu, serta untuk membolehkan mereka terus menyumbang, supaya proses penuaan dilihat sebagai fasa yang bermaruah dan penuh potensi,” katanya.
WSSF 2025 mengangkat tema ‘Shaping Social Security For a World in Transition’ dihadiri 1,500 peserta dari 135 negara, termasuk menteri, ketua pegawai eksekutif, pakar teknikal serta wakil badan antarabangsa seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Bank Dunia.
Forum lima hari sehingga Jumaat ini, berjaya menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab perbincangan antarabangsa serta himpunan terbesar dunia mengenai perlindungan sosial.
Ketika memulakan ucaptamanya, Anwar berkata, WSSF 2025 satu persidangan sangat penting untuk menyedia kerangka terbaru bagi memperbaiki permasalahan perlindungan sosial masyarakat yang wujud ketika ini.
“Saya percaya ini akan memberikan sambutan serta usul untuk kita perbaiki langkah-langkah yang sedia diambil dan mungkin ditingkatkan untuk mengurangkan tekanan dan beban.
“Seperti mana kita tahu, kita melonjak ke alam dan dunia digital (serta) pertumbuhan yang lebih segar, teknologi baharu. Namun kejayaan kita tidak harus ditandai dengan mercu kemegahan bangunan, tetapi juga keselesaan kepada masyarakat. Inilah yang menjadi teras dalam negara Madani,” katanya.-BH Online