KUCHING: Sarawak akan membangunkan dua fasiliti sukan baharu dalam usaha mencapai matlamat menjadikan negeri ini sebagai ‘sport power house’ pada masa depan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, dua fasiliti baharu itu ialah velodrom sukan berbasikal dan litar untuk sukan permotoran.
“Ini adalah kemudahan yang akan dibangunkan sebagai pelaburan kita untuk memantapkan disiplin anak muda melalui sukan.
“Ia seterusnya akan menjadi pemangkin semangat kita untuk kita membangunkan bidang lain terutamanya ekonomi,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Penutupan Sukan Borneo 2025, di sini, malam ini.
Sukan Borneo 2025 yang menghimpunkan atlet Sarawak, Sabah, Brunei, Kalimantan Timur (Indonesia) dan Wilayah Perskutuan Labuan berlangsung di sini selama empat hari sejak 24 September lalu.
Abang Johari berkata, Sarawak melabur dalam pembangunan fasiliti sukan bukan sahaja untuk kemudahan anak Sarawak tetapi ia akan dikongsi betsama rakan lain di Borneo dalam usaha membangunkan standard atlet kepulauan ini.
“Sebab itu juga kita setuju untuk menjadi hos bersama Sukan SEA 2027 kerana dengan penganjuran di sini sekali gus akan turut dirasai rakan lain di kepulauan Borneo,” katanya.
Beliau juga yakin Sukan Borneo yang bermula di Brunei pada 1954 akan terus berkembang, justeru menyokong cadangan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah untuk membuka penyertaan kepada beberapa negara lain pada masa depan.
“Melalui kejohanan ini kita akan dapat menilai standard atlet Borneo untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi seperti Sukan SEA, Sukan ASIA, Komanwel seterusnya Olimpik.
Sarawak menjuarai kejohanan kali ini dengan pungutan 62 pingat emas, diikuti Sabah dengan 26 pingat emas, Kalimantan Timur (12), Labuan (5) dan Brunei (4).
Kejohanan berikutnya pada 2027 dijadual akan berlangsung di Samarinda, Kalimantan Timur.-BH Online