KUALA LUMPUR: Malaysia melancarkan Pelan Hala Tuju Industri Keluli 2035 (PHIK2035) sebagai kerangka menyeluruh untuk menstabilkan, merombak dan mentransformasikan industri keluli negara ke arah lebih mampan, berdaya saing serta selari aspirasi sifar bersih karbon menjelang 2050.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata PHIK2035 akan menjadi kontrak nasional bagi memastikan industri strategik itu bukan sahaja berdaya tahan, malah terus menyumbang kepada kesejahteraan sosioekonomi negara.
Beliau berkata, sektor keluli kini berdepan ketidakseimbangan ketara antara kapasiti pengeluaran dan permintaan domestik apabila kapasiti huluan dijangka mencecah 40.8 juta tan pada 2030, sedangkan permintaan hanya sekitar 14.7 juta tan.
“Jurang besar ini mendedahkan isu lebihan kapasiti, pulangan pelaburan rendah serta penghakisan daya saing. Pada masa sama, industri keluli adalah antara sektor paling intensif karbon, sekali gus mewujudkan risiko besar daripada peraturan pasaran berasaskan alam sekitar. Justeru, pengurangan karbon bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan,” katanya ketika melancarkan PHIK2035 di sini, hari ini.
Tengku Zafrul menjelaskan, PHIK2035 menekankan tiga fasa utama, iaitu penstabilan, transformasi dan kelestarian jangka panjang.
Fasa pertama dalam tempoh dua tahun memberi tumpuan kepada kawalan lebihan kapasiti, penstrukturan semula kerangka pelesenan, penguatkuasaan terhadap pengusaha haram, jaminan bekalan bahan mentah domestik serta asas pengurangan karbon.
Fasa kedua antara 2027 hingga 2035 pula menekankan transformasi industri dengan mekanisme karbon, pembangunan infrastruktur pengeluaran rendah karbon, piawaian keluli hijau serta pelaburan semula dalam teknologi baharu.
Selepas 2035, sasaran adalah menjadikan sektor keluli negara sebagai industri hijau sepenuhnya menjelang 2050 dengan sokongan modal, bakat dan teknologi.
Menurutnya, cabaran lebihan kapasiti bukan hanya dihadapi Malaysia, malah ASEAN turut berdepan situasi sama dengan lebihan bekalan keluli panjang, namun masih bergantung besar kepada import keluli rata.
Selain itu, isu lambakan, pemindahan kargo serta tarif seperti Seksyen 232 Amerika Syarikat menambah tekanan, di samping peraturan baharu pelepasan karbon dan keluli hijau yang memberi kesan besar kepada pengeluar serantau.
“Tiada negara mampu memikul beban ini sendirian. ASEAN perlu mencari penyelesaian kolektif bagi memastikan daya tahan dan kelestarian industri keluli rantau ini,” katanya.
Bagi tujuan itu, Malaysia mencadangkan penubuhan pangkalan data kapasiti dan penggunaan keluli ASEAN untuk meningkatkan ketelusan pasaran, pembangunan halatuju pengurangan karbon serantau dengan piawaian keluli hijau seragam, serta penubuhan hab Besi Berkurang Terus (DRI) dan Besi Briket Panas (HBI) berasaskan tenaga boleh diperbaharui bagi melindungi aliran sekerap keluli rantau ini.
Langkah ini diyakini dapat membantu ASEAN bergerak daripada sekadar perancangan kepada pelaksanaan, sekali gus menjadikan industri keluli lebih berdaya saing, adil dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.-BH Online