Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Lebih 700 daripada 10,000 sekolah di seluruh negara diaudit setakat ini, dalam usaha memastikan aspek keselamatan berada pada tahap terbaik.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata proses audit giat berjalan dan menunjukkan perkembangan positif, namun perjalanan masih panjang sebelum keseluruhan sekolah dapat disemak sepenuhnya.

“Alhamdulillah, audit keselamatan sekolah sedang berlangsung. Setakat ini kita sudah audit lebih 700 daripada 10,000 sekolah di seluruh negara.

“Perjalanan ini masih jauh tetapi perkembangan yang ditunjukkan amat baik,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) di sini, hari ini.

Kelmarin, murid Tahun Tiga, Abdul Fattah Khairol Rizal, meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di kawasan sekolah di Lenggeng, Negeri Sembilan.

Susulan itu, Fadhlina dilaporkan berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard sehingga menyebabkan kejadian itu.

Beliau juga dilaporkan berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melaksanakan audit keselamatan sekolah melalui Jawatankuasa Refomarsi Keselamatan Sekolah.

Difahamkan, audit keselamatan dijalankan sejak Ogos lalu.

Mengenai Belanjawan 2026, Fadhlina berkata, penyelenggaraan sekolah menerima peruntukan besar setiap tahun dan kementeriannya kini memberi tumpuan penuh kepada isu keselamatan supaya tragedi sama tidak berulang.

Katanya, aspek keselamatan sekolah turut menjadi antara keutamaan Kementerian Pendidikan dalam penyediaan input bagi Belanjawan 2026, selain beberapa perkara penting lain seperti pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET).

Ia juga termasuk sokongan terhadap inisiatif antibuli, pembangunan digital, teknologi serta persediaan ke arah kurikulum 2027 dan pelan pembangunan pendidikan baharu.

“Secara keseluruhan, pembentangan dan permintaan kita untuk Belanjawan 2026 ini sangat menyeluruh dengan sasaran khusus bagi terus meningkatkan dan memartabatkan kualiti pendidikan negara,” katanya.

Sementara itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi kenyataan memaklumkan Dekad Membaca Kebangsaan menyasarkan peningkatan bilangan bahan bacaan rakyat Malaysia daripada purata 15 kepada 50 judul setahun menjelang 2030.

Katanya, Dekad Membaca Kebangsaan adalah inisiatif nasional yang bermula pada 2021 hingga 2030 dengan aspirasi #MalaysiaMembaca. 

“Gerakan ini bertujuan membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat serta melonjakkan kedudukan Malaysia ke tangga 20 teratas negara pembaca dunia menjelang 2030.

“Pelaksanaan Dekad Membaca Kebangsaan dilaksanakan secara kolaboratif dengan pembabitan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti

masyarakat umum. 

“Melalui usaha ini, kerajaan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca dan melahirkan masyarakat berilmu bertaraf dunia,” katanya.-BH Online