Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Nilai: Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan mengambil perhatian serius terhadap audit keselamatan sekolah susulan tragedi murid maut terjatuh ke dalam lubang pembetung, semalam. 

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, kejadian yang menimpa Abdul Fattah Khairol Rizal, 9, di sebuah sekolah di Lenggeng kini berada dalam radar jawatankuasa berkenaan.

“Di peringkat kementerian sebenarnya kita telah mengadakan audit keselamatan sekolah melalui Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Sekolah dan perkara ini sedang dalam jangkauan dan radar kita.

“Apabila berlaku tragedi ini, ia memberikan kita satu lagi perhatian yang cukup penting, untuk kita mengambil perhatian penuh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni keluarga murid berkenaan di rumah mereka di Kampung Masjid, Lenggeng, di sini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada waris murid. Hadir sama dalam pertemuan itu, Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad; Pengarah Pengurusan Sekolah Harian, Datuk Amzan Abd Malek dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Khalidah Omar.

Fadhlina berkata, KPM dan JPNS mengambil tanggungjawab untuk menyiasat insiden yang meragut nyawa Abdul Fattah dan disusuli tindakan selanjutnya. 

“Laporan itu akan dikemukakan dengan segera untuk tindakan siasatan. Pastinya juga untuk kejadian ini tidak berulang lagi,” katanya. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada lelaki yang merisikokan nyawa membantu mengeluarkan murid tahun tiga itu daripada lubang berkenaan, selain mendoakan keluarga arwah diberi kekuatan dan kesabaran menghadapi kehilangan itu.

Sementara itu, ibu Abdul Fattah, Norfazila Md Lajin 43, yang juga guru, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama KPM yang memberikan bantuan dan sokongan kepada keluarganya. 

Semalam media melaporkan, kanak-kanak meninggal dunia selepas ke dalam lubang pembetung yang ditutupi papan nipis di kawasan sekolah di Lenggeng, Nilai.-MyMetro Online