MELAKA: Persidangan Pelancongan Dunia 2025 (WTC2025) yang berlangsung di sini, hari ini, menjadi platform utama membincangkan tiga dimensi kritikal perkembangan pelancongan global.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata perbincangan itu menumpukan kepada usaha pemerkasaan ekonomi melalui pelancongan inklusif, pelaksanaan pelancongan mampan dan adaptasi sektor itu dalam era kecerdasan buatan (AI) serta inovasi.
Beliau berkata, WTC2025 bukan sekadar menggerakkan agenda ekonomi, malah menjadi medan penyatuan budaya, inovasi dan kerjasama antarabangsa.
“Hari ini kita membawa satu visi bersama iaitu pertumbuhan mampan, penyertaan inklusif dan pelancongan transformatif bermula di Melaka, bukan saja untuk Malaysia tetapi untuk dunia.
“Pelancongan bukan sekadar aktiviti ekonomi, sebaliknya kuasa yang menghubungkan masyarakat dan membina persefahaman,” katanya berucap sempena WTC2025 di Banda Hilir di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Mengulas kedudukan Melaka sebagai Bandar Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Ab Rauf berkata, negeri itu menjadi contoh bagaimana warisan dan pembangunan moden mampu bergerak seiring.
Beliau berkata, komitmen kerajaan negeri untuk memastikan kelestarian menjadi asas perancangan, bukannya agenda sampingan.
“Kami meraikan kepelbagaian dan memelihara warisan ketara serta tidak ketara, daripada seni bina dan monumen bersejarah kepada kraf, bahasa, masakan dan seni tradisional,” katanya.
Sementara itu, WTC2025 yang bertemakan Pelancongan dan Transformasi Mampan: Inklusif, Berdaya Tahan, Regeneratif, dilihat sebagai pemangkin kepada idea baharu dalam sektor pelancongan antarabangsa.
Ab Rauf berkata, hasil perbincangan dicapai pada persidangan itu kelak mampu membuka peluang mampan, memelihara komuniti dan memberi kesan jangka panjang kepada generasi akan datang.
“Azam kita menjadikan visi dibawa dalam WTC2025 diterjemah kepada tindakan supaya legasinya terus dirasai di seluruh dunia,” katanya.-BH Online